Veteran Umno pertahan hak Najib untuk bersuara
Veteran Umno menyifatkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak perlu bersuara untuk memberi penjelasan kepada rakyat apatah lagi membabitkan kes-kes mahkamah yang dihadapinya.
Setiausaha Agung Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub berkata Najib sebagai ahli Umno, ketua bahagian dan anggota parlimen Pekan mempunyai hak untuk bersuara tanpa perlu dinafikan mana-mana pihak.
"Beliau (Najib) adalah subjek yang menjadi kes sehingga Umno kalah dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), sebab itu Najib merasakan beliau bertanggungjawab untuk memperjelaskan, apatah lagi pendakwaan yang dihadapinya dengan dokumen tidak lengkap.
"Oleh itu Veteran Umno berpandangan beliau boleh berbuat demikian dan perlu berbuat demikian, hanya beliau yang mengetahui apa dihadapinya kini.
"Orang lain saya kira tidak mampu untuk menjelaskan seperti mana beliau," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno bagaikan kurang senang dengan tindakan Najib yang semakin aktif menjawab isu semasa termasuk beberapa pertuduhan yang dihadapinya di media sosial.
Antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik Najib termasuk bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Mustapha berkata, isu-isu membabitkan Najib seperti hanya boleh dijelaskan oleh bekas presiden Umno itu kerana beliau lebih memahaminya.
"Najib berhak bersuara, kerana beliau bercakap mengenai isu yang dihadapinya," jelasnya.

