Republikan kekal majoriti dalam Senat, Demokrat tawan Dewan Perwakilan
Diterbitkan: Nov 7, 2018 4:32 PM
GLOBAL l Parti Republikan Amerika Syarikat pada Selasa berjaya mengekalkan majoriti Senat dalam pilihan raya separa penggal 2018 negara itu, lapor agensi berita China Xinhua.
Bermula dengan 42 kerusi, Parti Republikan telah diisytihar sebagai pemenang di sekurang-kurangnya lapan kerusi Senat, termasuk di negeri-negeri yang sebelum ini dianggap sengit iaitu Indiana, Tennessee dan Texas.
Dengan kemenangan itu, Parti Republikan memegang kuasa untuk mengesahkan calon pegawai penting kerajaan termasuk hakim Mahkamah Agung dan anggota kabinet.
Bagaimanapun, Xinhua melaporkan bahawa Parti Demokrat telah berjaya menawan kembali Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada pilihan raya itu.
- Bernama

