Pihak berkuasa sedang menyiasat kegiatan mengedar kitab Bible di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata perkara itu kini dalam siasatan polis, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAINPP) dan juga Jabatan Pendidikan Negeri.

"Dalam hal ini, pihak kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menyiasatnya," katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengesahkan berlakunya kegiatan itu yang mula ditularkan di media sosial.

Beliau berkata ia bukan dilakukan pihak Kristian atau gereja di situ, tetapi dipercayai daripada wakil NGO.

Dalam pada itu, Zakiyudin mengingatkan bahawa Islam ialah agama rasmi di Pulau Pinang seperti yang termaktub dalam perlembagaan negeri.

"Sebarang usaha untuk menimbulkan kekacauan dan suasana tidak tenteram dalam masyarakat berbilang kaum dan agama adalah tidak wajar dan tiada ruang untuk tolak ansur," katanya lagi.