Demokrat sedia berdepan dengan 'ancaman' Trump
Demokrat di Dewan Perwakilan AS menjanjikan era baru pengawasan Kongres ke atas Presiden Donald Trump pada hari Rabu, dan mengetepikan ancaman perang politik oleh Rumah Putih jika Demokrat melancarkan siasatan terhadap urusannya.
"Kami mempunyai tanggungjawab konstitusional untuk melakukan pengawasan," kata pemimpin Dewan Demokrat Nancy Pelosi kepada pemberita sehari setelah pengundi memilih Demokrat untuk menguasai Dewan untuk pertama kalinya dalam lapan tahun.
"Ia tidak bermakna kita mahu bergaduh. Tetapi ia bermakna jika kita lihat ada keperluan untuk melakukannya, kita akan buat," katanya.
Demokrat dijangka menjalankan siasatan terhadap kedudukan cukai Trump, kemungkinan berlaku konflik kepentingan antara empayar perniagaannya dan sebarang pakatan antara Rusia dan pasukan kempen Trump pada pilihan raya 2016.
Pelosi, yang berharap untuk kembali menjadi speaker Dewan berkata ketua jawatankuasa akan memutuskan bagaimana untuk meneruskannya dan membuat cadangan mereka kepada kaukus Demokratik.
"Tetapi satu perkara yang pasti: apabila kami melakukannya, kami akan melakukannya dengan betul," katanya yang berusia 78 tahun itu.

