Lagi pengarang akhbar Utusan Malaysia yang tampil mendesak syarikat penerbitan akhbar Melayu itu supaya berani menukar langkah termasuk mengkritik pemimpin terdahulu yang menjadi pemilik akhbar berkenaan.

Hari ini, Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan mencadangkan supaya akhbar milik Umno itu berhijrah ke bahtera yang lebih kukuh dalam memastikan kelansungannya.

Utusan harus berani, bukan sahaja mengkritik pemimpin terdahulu, yang menjadi tuan punyanya, malah kerajaan sekarang yang harapannya masih tidak berapa jelas.

“Jika Utusan merasakan Umno sudah di akhir hayatnya, serulah orang-orang Melayu bertaut di dahan yang mantap dan bukan di ranting rapuh yang sedang dimamah anai-anai.

“Ingatlah kata orang tua-tua “yang patah tumbuh, yang hilang berganti”. Tidak salah kita berhijrah ke kapal yang kukuh daripada berpecah keringat menimba air di bahtera yang bocor,” kata Zaini dalam ruangan “cuit” di Utusan, hari ini.

Zaini turut mengakui selama ini Utusan telah membuat silap dengan tidak mengambil langkah berkecuali terhadap Umno.

Katanya lagi, jika Utusan merasakan Umno perlu diterajui pemimpin yang lebih mantap demi memastikan mereka terus relevan maka, perubahan itu perlu dilakukan.

Utusan harus berubah daripada terus menjadi mata telinga parti kepada suara bangsa dan rakyat jelata. Perjuangkan suara rakyat marhain di luar sana. Masih ramai lagi yang hidup merempat, makan nasi dengan garam.

“Ingatkan cogankata akhbar ini: Penyebar Fikiran Rakyat. Bukannya penyebar fikiran sang politikus rakus dan partai siyasah, sehinggakan yang hitam menjadi putih dan putih menjadi hitam.

“Yang haq tetap haq; yang salah tetap salah. Yang kotor tetap kotor; yang bersih tetap bersih,” katanya.

Menurut Zaini, Utusan perlu berkata benar dan jika ini tidak dilakukan maka, hancurlah akhbar berkenaan.

Ini kerana katanya, masyarakat hari ini celik media dan “rakyat bukanlah surat terbang aerogram atau posto telegram”.

 

“Ayuh insaflah Utusan. Masih ada cahaya di hujung terowong, walaupun ada yang berkata “dah lambat bro” nasi sudah menjadi bubur,” katanya.

Beliau berkata, jika Utusan berada di landasan yang betul beliau yakin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga tidak akan membiarkan akhbar berkenaan “mati”.

“Jika kita bertanya dengan Dr Mahathir pun, beliau akan berkata jangan biarkan Utusan mati, waima Lim Guan Eng sendiri pun akan berkata Utusan akhbar cukup bersejarah, biarkan ia terus hidup,” katanya.

Dalam coretan itu Zaini berkata, ramai yang menuduhnya menjadi antara individu yang bertanggungjawab dengan kejatuhan Utusan, namun katanya, biarlah kerana orang ramai tidak mengetahui suasana politik akhbar berkenaan.

Zaini turut berkata beliau akan meninggalkan akhbar berkenaan hujung bulan ini setelah 30 tahun bersengkang mata, membelakangkan keluarga demi perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Saya sendiri akan meninggalkannya tepat 30 November ini setelah kurang enam bulan genap 30 tahun; bersengkang mata, membelakangkan keluarga demi perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Beliau juga berkata ada antara rakan seperjuangan di luar yang hari ini sudah tidak sanggup mengakui mereka pernah memimpin akhbar ini satu ketika dulu.

“Saya tidak salahkan mereka, kerana keadaan telah menjadikan mereka begitu aib dengan akhbar ini,” katanya.