Najib gusar dengan skim perumahan 'FundMyHome'
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gusar dengan kerajaan Pakatan Harapan yang akan membenarkan projek perumahan FundMyHome dijana melalui dana masyarakat (property crowdfunding) yang diumumkan pada Belanjawan 2019.
Menulis di Facebook, Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan, yang telah membentangkan sembilan belanjawan negara, berkata projek itu tidak memberi manfaat kepada rakyat.
“Dalam kata mudah, Jumaat petang bentang Bajet 2019, Ahad dah lancar platform. Isnin pula Suruhanjaya Sekuriti kata akan menyemak butiran.
“Ada pihak tertentu macam tahu-tahu saja skim ini akan diumum,” katanya.
Najib merujuk kepada skim pemilikan rumah, FundMyHome yang ditubuhkan oleh EdgeProp Sdn Bhd, yang dilancarkan di Semenyih, Selangor, pada 4 Nov.
Menurutnya, Suruhanjaya Sekuriti (SC), yang diamanahkan untuk mengawal selia mendakwa akan menyemak butiran skim berkenaan pada 5 Novemver, iaitu tiga hari selepas Belanjawan 2019 diumumkan.
“Saya rasa sama seperti banyak perkara yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, semua ini sebenarnya masih belum ada perancangan rapi atau masih dalam peringkat kajian.
“Saya ada sedikit kegusaran mengenai skim perumahan ini. Insya-Allah saya akan kongsi lagi pendapat saya mengenainya,” katanya.
Di bawah skim itu, pembeli rumah hanya membayar 20 peratus daripada nilai hartanah tersebut dan boleh menggunakan sepenuhnya harta berkenan selama lima tahun, manakala baki 80 peratus dibiayai oleh peminjam dana atau pelabur atau institusi kewangan.
Skim FundMyHome juga menimbulkan kebimbangan di kalangan mereka di sektor hartanah, yang memberi amaran bahawa pembeli rumah mengambil risiko, termasuk melepaskan tambah nilai modal 20 peratus pertama mereka kepada pemaju.
Pelabur dikatakan akan pertama sekali terkesan oleh sebarang kemungkinan susut nilai apabila menunaikan bayaran pendahuluan 20 peratus.
Ada juga yang mendakwa amalan kronisme terbabit dengan skim itu yang memberi manfaat kepada penyokong Pakatan Harapan.

