PKR: Keanggotaan cabang Julau sah
Keanggotaan baru PKR bagi cabang Julau, Sarawak yang menjadi perhatian selepas jumlah keahliannya naik secara mendadak adalah sah kerana tidak melanggar apa-apa proses permohonan parti, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
Menurutnya, mesyuarat biro politik malam semalam membuat keputusan itu selepas mengambil kira jumlah besar permohonan bagi cabang Julau diterima ibu pejabat PKR pada 12 Jun, lebih awal dariapda tarikh akhir penerimaan keanggotaan bagi tujuan pemilihan iaitu pada 26 Jun 2018.
Katanya, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga telah memaklumkan bahawa semua permohonan keahlian baru hanya dimasukkan ke dalam pangkalan data keanggotaan selepas diluluskan biro politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Katanya, senarai akhir permohonan keanggotaan baharu telah diluluskan dalam satu mesyuarat khas MPP selepas tarikh 26 Jun dengan senarai itu kemudiannya diserah kepada setiap cabang untuk semakan dan bantahan sehingga 17 Julai 2018.
“(Namun), sehingga tarikh tersebut, ibu pejabat PKR tidak menerima sebarang bantahan daripada mana-mana pihak terhadap permohonan keanggotaan baharu di cabang Julau.
“Oleh itu, berdasarkan fakta-fakta ini dan memandangkan tiada pelanggaran proses dalam kes ini, biro politik PKR dimaklumkan bahawa permohonan keanggotaan baharu di cabang Julau adalah sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Cabang Julau menjadi perhatian selepas berlaku kenaikan mendadak jumlah keahliannya dari 603 kepada 13,000 ahli pada 27 Jun lalu sehingga laporan dibuat kepada SPRM.
Pemilihan di Sarawak yang akan berlangsung Sabtu ini membabitkan 29 cabang dengan tumpuan akan diberikan di Cabang Julau dan Lubok Antu.

