Bekas pengarah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas empat pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM270,000 sebagai upah memberi kontrak kepada sebuah syarikat lain bagi kerja-kerja pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), enam tahun lepas.

Affendy Bahrom, 44, dari Bukit Jelutong, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bekas pengarah Syarikat Maxwell Accent JV Sdn Bhd itu didakwa memperoleh suapan untuk dirinya dalam bentuk cek berjumlah RM40,000, RM40,000, RM80,000 dan RM110,000 daripada pengarah Syarikat Malim Resources, Mohd Asri Omar, antara 18 Mei 2012 dan 10 Okt 2012, sebagai upah bagi beberapa kerja pembinaan di klia2.

Affendy yang kini seorang ahli perniagaan didakwa melakukan kesemua kesalahan di tiga bank berasingan di Kelana Jaya dan Shah Alam, dan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Rozilah membenarkan Affendy dibebaskan dengan jaminan RM40,000 serta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 6 Dis ini untuk sebutan semula kes. Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Hazirah Azeman sementara Affendy diwakili peguam A. G. Kalidas.

- Bernama