Pelbagai isu timbul sepanjang tahun ini. Banyak yang dapat diselesaikan atau diperjelaskan tetapi tidak kurang juga ada yang terus menjadi misteri atau "hilang" begitu sahaja. Dipaparkan senarai 10 isu yang terus menjadi tanda tanya?

Ayah Pin....sekejap ada, sekejap hilang....

Ketua " Keraajaan Langit " Ayah Pin, 65, terus menjadi misteri. Walaupun pengikutnya di perkampungan Kerajaan Langit di Besut, Terengganu ditahan polis pada Julai lalu, Ayah Pin telah "menghilang".

Ada yang mengatakan Ayah Pin melarikan diri ke dalam hutan di Kampung Batu 13, Besut dan ada yang mendakwa lelaki pemimpin ajaran songsang itu kini menyembunyikan diri di selatan Thai.

Perkampungan Ayah Pin telah dimusnahkan, beberapa replika gergasi seperti cerek, payung dan kapal yang menjadi mercutanda perkampungan itu telah dimusnahkan.

Seramai 70 pengikut Kerajaan Langit telah didakwa di mahkamah syariah idi atas tuduhan melanggar perintah pihak berkuasa agama negeri Terengganu yang sebelum ini telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran Ayah Pin adalah songsang.

Kehilangan Francis Udayappan

Misteri kematian G Francis Udayappan masih belum berjawab. Pemuda yang ditahan polis di atas kesalahan mencuri itu didakwa telah melarikan diri dari lokap polis di Brickfields, Kuala Lumpur dan mati lemas ketika cuba meyembunyikan diri dalam sungai Klang.

Bagaimanapun ibunya, G Sara Lily mendakwa anaknya dibunuh ketika berada dalam tahanan dan mayatnya dicampak ke dalam sungai.

Lily mendakwa satu mayat yang hampir reput yang dijumpai di sungai Klang sebagai mayat anaknya. Pihak polis bagaimanapun enggan mengesahkannya sehingga dibuktikan dengan ujian DNA.

Satu siasatan koroner sedang berjalan untuk menentukan identiti mayat itu. Siasatan ini sepatutnya disiapkan dalam masa tiga hari sahaja tetapi kini berlarutan lebih setahun gara-gara terlalu kerap ditangguhkan dan faktor perundangan.

Kerjasama parti-parti pembangkang?

Kabur...! Begitulah gambaran yang dapat diberikan kepada kerjasama parti-parti pembangkang, PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di dalam Barisan Alternatif (BA).

Berdasarkan keputusan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan pada 6 Disember lalu di mana calon PAS tewas, nampaknya kemunculan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat PKR dan tokoh utama BA tidak mendatangkan apa-apa kesan.

Jelaslah parti-parti pembangkang belum pulih lagi dari kekalahan dalam pilihanraya umum 2004. Harapan kemunculan Anwar akan memulihkan harapan BA masih kekal sebagai teori sahaja.

Usaha membawa balik DAP ke dalam BA nampaknya masih belum berhasil. Dapatkah BA mengembalikan kegemilangan yang dikecapi pada tahun 1999 di mana ia memenangi 42 kerusi parlimen dan dua kerajaan negeri? Pilihanraya umum 2008 semakin hampir, BA perlu melakukan sesuatu dari sekarang.

Isu tanah adat pribumi di Sarawak

Beratus-ratus pemilik tanah adat peribumi (NCR) daerah Lundu dan Sri Aman, Sarawak mengadu tanah milik mereka diambil secara rakus oleh kerajaan negeri dan syarikat-syarikat perladangan kelapa sawit.

Ada di antara mereka telah mengambil tindakan undang-undang dan tidak kurang juga yang bertindak sendiri. Di Pantu, Sri Aman, sekumpulan orang Iban telah mendirikan halangan untuk menghalang jentera milik sebuah syarikat swasta memasuki tanah mereka.

Beberapa penduduk kampung telah ditahan apabila berlaku pertelingkahan dengan para pekerja syarikat berkenaan. Isu NCR ini dijangka menjadi isu utama dalam pilihanraya negeri Sarawak tahun depan.

Bulan lalu, Pantu menerima kunjungan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjanji mahu membantu peribumi Sarawak menyelesaikan masalah tanah itu.

Kenaikan harga minyak

Sepanjang tahun 2005, harga petrolum naik sebanyak tiga kali ekoran pengurangan subsidi kerajaan. Orang ramai telah diingatkan supaya bersedia untuk menerima beberapa kenaikan lagi tahun depan.

Kenaikan harga bahan api itu adalah selari dengan kenaikan harga minyak mentah global.

Bagaimanapun kenaikan harga tersebut mendatangkan senyuman kepada Petronas. Syarikat minyak negara itu mencatatkan keuntungan RM35.5 bilion bagi tahun kewangan 2005.

Akibat kenaikan harga minyak, kos pengangkutan telah meningkat dan sekali gus memberi kesan kepada harga barangan keperluan harian lain. Harga makanan, tambang bas dan teksi telah meningkat. Semua pihak mula merasai kesannya.

Kerajaan hanya berjanji tidak menaikkan lagi harga petroleum hingga 31 Disember ini. Bagaimana tahun depan?

Kecelaruan jantina

Masalah yang dihadapi oleh golongan "maknyah" turut mendapat perhatian tahun ini. Ia adalah satu masalah yang tiada penyelesaiannya. Golongan "mak nyah" atau "transsexual" ini terus dihimpit dan didiskriminasi dari segi identiti dan hak asasi manusia mereka.

Kerajaan masih tidak mempunyai dasar jelas bagi menentukan status masyarakat "transsexual" ini. Tiada usaha segera dilakukan untuk mengatasinya.

"Transsexual" menghadapi masalah dalam berurusan dengan Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan, membeli insuran kesihatan dan mendapat pinjaman bank. Sebagai contoh, seorang mak nyah, Mumtaz, telah disoalsiasat oleh polis dan dikategorikan sebagai lelaki.

Pada November lalu kita digemparkan oleh perkahwinan " transsexual" Jessie Chung dengan pasangannya Joshua Beh. Perkahwinan itu mencetuskan perdebatan berhubung identiti golongan minoriti ini.

Broga: Isu lama yang tiada kesudahan

Sudah tiga tahun isu pembinaan loji pelupusan sampah ini berlalu. Mungkin penduduk kampung lain akan berputus asa apabila terpaksa "berperang" dengan kerajaan negeri, tetapi tidak bagi penduduk Kg. Baru, Broga di Semenyih, Selangor.

Penduduk telah membawa isu ini ke mahkamah untuk menghalang projek ini. Mereka berjaya mendapat perintah sementara dari mahkamah pada Februari lalu.

Kajian impak alam sekitar telah dilakukan oleh pihak berkuasa dan butir-butir lanjutnya telah dipamerkan untuk bacaan dan ulasan umum.

Pada November lalu penduduk Taman Tasik Semenyih mengumpul dana untuk membiayai tindakan susulan bagi menghalang projek tersebut.

Penduduk sekitar Broga menunjukkan daya tahan dan kesungguhan tinggi untuk menghalang projek yang berpotensi mencemarkan alam sekitar mereka.

Namun kerajaan nampaknya masih bertegas mahu meneruskan projek ini.

Pelarian Rohingya

Isu pelarian Rohingya dari Burma masih belum berakhir. Pada September lalu, kumpulan pelarian ini diberitahu oleh pihak berkuasa Malaysia bahawa mereka akan diberikan kad pengenalan khas.

Tujuannya untuk mengenalpasti identiti mereka bagi mengelakkan ditangkap oleh pihak berkuasa dan dihantar balik ke negara asal mereka.

Bagaimanapun janji itu belum dilaksanakan, sebaliknya dari masa ke semasa orang-orang Rohingya ini ditahan atas dakwan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

April lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid memberi satu lagi harapan kepada golongan ini apabila mengumumkan mereka akan diterima berkerja di negara ini.

Namun selepas lapan bulan, nasib orang-orang Rohingya ini masih tidak berubah.

Skandal program minyak untuk makanan Iraq

Malaysia memang tidak pernah sunyi dari isu-isu global. Tahun ini pemimpin negara kita dikaitkan dengan penyelewengan yang berlaku dalam program "minyak untuk makanan" Iraq.

Namun siasatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang diumumkan pada 27 Oktober lalu membersihkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dari terbabit dalam skandal tersebut.

Bagaimanapun ia mengaitkan saudara perempuan allahyarham isterinya, Datin Seri Endon Mahmood dan rakan niaganya dalam urusan itu.

Mereka didakwa membayar AS$10 juta (RM38 million) untuk "merasuah" regim Saddam Hussein bagi mendapat kontrak bekalan minyak terbesar di bawah program berkenaan. Urusniaga itu didapati dijalankan oleh sebuah syarikat perdagangan Malaysia, Mastek Sdn Bhd.

Pemilik syarikat itu ialah Noorasiah Mahmood and Faek Ahmad Shareef, seorang warga Iraq yang pernah berkahwin dengan seorang saudara perempuan Endon.

Noorasiah enggan megulas laporan itu tetapi Faek memberitahu akhbar The New Straits Times bahawa urusan itu adalah perdagangan biasa yang dilakukan di bawah seliaan PBB.

Misteri Michael Soosai

Misteri "kematian" Michael Soosai terus mendapat perhatian akhbar dan polis pada tahun ini. Walaupun dikatakan telah mati namun dia masih kekal dalam senarai orang yang dikehendaki polis.

Soosai didakwa memalsukan kematiannya untuk mengelakkan dari dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan membunuh.

Kisah penjenayah ini mendapat perhatian polis apabila malaysiakini pada bulan Jun lalu mendedahkan Soosai masih hidup.

Pendedahan ini memalukan polis kerana mereka tidak mempunyai jawapan bagi misteri ini. Polis berjanji akan menyiasat kes ini dan mendakwa langkah-langkah telah diambil untuk mengekstradisi Soosai yang dipercayai bersembunyi di India.

Tiada perkembangan terbaru dikhabarkan kepada umum. Sehingga itu Soosai akan terus menjadi satu misteri dan tanda tanya besar kepada pihak polis.


Artikel disediakan oleh team malaysiakini .

Esok - Newmakers of the year