Skim FundMyHome: Tong beritahu Najib 'kamu silap lagi'
EdgeProp Sdn Bhd hari ini menjelaskan bahawa projek perumahan FundMyHome melalui dana masyarakat (property crowdfunding) yang diumumkan dua hari selepas pembentangan Belanjawan 2019 adalah kerana firma berkenaan yang memulakan skim itu dan bukannya kerajaan.
Dalam surat terbuka kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Pengerusi EdgeProp, Tong Kooi Ong menyifatkan hantaran Facebook Najib berhubung FundMyHome "silap lagi".
"Dengan hormat, kamu silap lagi.
"Kami sudah lama berfikir secara serius dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk mencari penyelesaian membantu rakyat Malaysia, terutama mereka dengan keluarga yang muda, yang ingin memiliki rumah sendiri daripada menyewa," kata Tong.
Katanya, selepas idea itu menjadi nyata, mereka membawanya kepada kerajaan selain membabitkan beberapa pengawal selia sejak beberapa bulan lalu, dengan kemuncak idea itu ditimbulkan ketika Belanjawan 2019 dibentangkan di Parlimen pada 2 Nov.
Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan, dalam hantaran di Facebook hari ini berkata projek itu tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Ini kerana, katanya, platform untuk FundMyHome, yang dimiliki oleh sebuah syarikat swasta, hanya dilancarkan dua hari selepas belanjawan dibentangkan
Menurutnya, Suruhanjaya Sekuriti (SC), yang diamanahkan untuk mengawal selia mendakwa akan menyemak butiran skim berkenaan pada 5 Novemver, iaitu tiga hari selepas Belanjawan 2019 diumumkan.
Menjawab ulasan Najib itu, Tong menjelaskan bahawa skim FundMyHome ketika ini tidak memerlukan kelulusan pengawalseliaan kerana pembiayaan skim tersebut hanya dibuka kepada institusi kewangan dan bukannya orang ramai.
"Kelulusan untuk penyertaan awam sebagai pelabur akan diperlukan dan kami akan bekerjasama dengan pengawal selia untuk melakukan ini pada suku pertama 2019.
"Izinkan saya tegaskan bahawa inisiatif ini adalah dari sektor swasta dan tidak memerlukan sebarang pembiayaan, konsesi atau jaminan kerajaan, seperti yang kamu cadangkan dalam hantaran di Facebook."

