Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno: Lim bohong tentang insuran B40?
Diterbitkan:  Nov 8, 2018 6:37 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Sufian Hamdan menyoal jika Menteri Kewangan Lim Guan Eng menipu Dewan Rakyat mengenai peranan Great Eastern dalam menyediakan perlindungan insurans kepada golongan berpendapatan rendah, B40.

Jumaat lalu ketika membentangkan Belanjawan 2019, Lim berkata Great Eastern bersetuju untuk menyumbangkan RM2 bilion kepada Dana Perlindungan Kesihatan Nasional untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

"Kerajaan menghargai sumbangan Great Eastern Life Insurance atas persetujuan mencarum sebanyak RM2 bilion dalam dana permulaan yang akan diuruskan oleh Bank Negara Malaysia.

"Kerajaan menjangkakan saiz dana akan berkembang dengan penglibatan syarikat insurans lain," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu.

Bagaimanapun, pada Isnin 5 November lalu Great Eastern berkata sumbangan itu masih dalam peringkat perbincangan.

"Mana satu betul? Adakah Lim Guan Eng telah berbohong di dalam Dewan Rakyat dan di depan jutaan rakyat?" Soal Shahril pada hantaran Facebook hari ini.

Kepentingan industri insurans tempatan

Bekas perdana menteri Najib Razak juga menyoal jika Lim berbohong kepada Dewan Rakyat dan jika kepentingan industri insurans tempatan sedang dipertaruhkan.

Business Times memetik syarikat induk Great Eastern Holdings di Singapura berkata RM2 bilion tersebut merupakan pilihan yang sedang dikaji bagi memenuhi syarat-syarat pemilikan asing di dalam syarikat insurans di Malaysia.

Bank Negara pada 2017 mengarahkan syarikat insurans asing, termasuklah Great Eastern untuk mengurangkan pegangannya dalam perniagaan di Malaysia selaras dengan peraturan pada 2009 bagi menghadkan pemilikan asing terhadap perniagaan insurans tempatan sehingga 70 peratus.

Shahril berkata jelas Great Eastern Malaysia yang dimiliki 100 peratus oleh syarikat induknya di Singapura itu mahu menggunakan rancangan sumbangan B40 berkenaan bagi mengecualikan daripada peraturan yang dibuat pada 2009.

"Laporan media sama mendedahkan, rupa-rupanya syarikat itu sedang berbincang dengan kerajaan PH bagi mendapat pengecualian daripada syarat BNM untuk menjual kepentingan 30 peratus kepada syarikat tempatan.

"Secara jelas, Great Eastern memberitahu satu kaedah untuk mendapat pengecualian ialah dengan membuat sumbangan RM2 billion ini. Nampak tak unsur 'quid pro quo' (timbal balas) di situ?

"Harap Lim Guan Eng boleh buat penjelasan," katanya.

Insurans perlindungan B40 bakal menyediakan perlindungan sakit kritikal sehingga RM8,000 kepada pesakit golongan B40.

Insurans itu juga akan membayar pendapatan sehingga RM50 sehari sehingga 14 hari mendapat rawatan di hospital.

Lim berkata beliau berharap dana itu akan berkembang apabila menerima sumbangan seterusnya daripada syarikat insurans lain.

Lihat Komen
ADS