Isu GPMS: Pihak luar jangan campurtangan
Pihak luar yang tiada kena mengena dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) diminta jangan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi krisis dalam pertubuhan itu.
Pihak luar yang tiada kena mengena dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) diminta jangan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi krisis dalam pertubuhan itu.
Setiausaha Agungnya (dari kumpulan Datuk Suhaimi Ibrahim) Sobri Ahmad berkata, jika mereka mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa, ia akan lebih mengusutkan lagi keadaan.
"Saya membuat rayuan ini kepada semua pihak; Pendaftar Pertubuhan, bekas orang lama GPMS dan orang politik. Jangan buat kenyataan tanpa usul periksa.
"Pendaftar Pertubuhan Datuk Wariman Kaswuri perlu menunggu laporan penuh dari GPMS sebelum mengeluarkan kenyataan. Bekas pemimpin GPMS dan pemimpin politik tidak perlu mengeluarkan kenyataan kerana mereka tidak tahu perkara sebenar yang berlaku dalam GPMS," katanya.
Pucuk pimpinan GPMS kini berpecah dua - satu dipimpin oleh Suhaimi dan satu lagi oleh Reezal Merican Naina Merican.
Sabri membuat kenyataan itu bagi mengulas kenyataan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam sebuah akhbar hari ini yang memberi amaran GPMS boleh dibatalkan jika kedua-dua pihak didapati melanggar perlembagaan ketika mengadakan persidangan khas masing-masing baru-baru ini.
Dosa siapa?
Jika dibubarkan, beberapa pemimpin politik termasuk Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim terpaksa melepaskan jawatan dalam Umno kerana ROS akan menyenaraihitamkan semua pemimpin GPMS dari memegang jawatan dalam mana-mana persatuan atau parti selama lima tahun.
Sobri juga menegaskan, GPMS perlu dipimpin oleh mereka yang bijak mentadbir dan bukannya mereka yang mempunyai kepentingan peribadi.
"Kalau dipimpin oleh mereka yang tidak cerdik, GPMS akan punah ranah. Sekarang ini pun GPMS dimalukan kerana tindak tanduk mereka yang tidak bijak ini," katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden GPMS, (dari kumpulan Reezal Marican) Syed Anuar Syed Mohamad pula berkata, Suhaimi perlu menanggung `dosa' jika gabungan itu dibubarkan.
"Semuanya kerana salah Suhaimi. Beliau yang melanggar peraturan GPMS termasuk gagal mengadakan mesyuarat agung yang sepatunya diadakan pada bulan Jun lalu.
"Pada hari Ahad lalu, kumpulan kami dari 135 cawangan dari seluruh negara tidak dibenarkan hadir dalam persidangan agung khas sedangkan cawangan itu disahkan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan," katanya.
Syed Anuar berkata, sebelum ini cadangan pedamaian yang dikemukakan kepada Suhaimi juga tidak diendahkan.
Menurutnya, tindakan kumpulannya mengadakan persidangan agung khas itu adalah untuk menyelamatkan GPMS daripada dibubarkan oleh ROS.

