Keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak menuntut jenazah pendaki Everest Koperal M.Moorthy @ Mohammad Abdullah, perlu dihormati semua pihak, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.

Pesuruhjaya Suhakam Datuk N.Siva Subramaniam berkata: "Yang lebih penting ialah undang-undang negara ini perlu dihormati".

"Dan sebarang cadangan untuk meminda undang-undang sedia ada bagi menjamin hak mereka yang bukan Islam perlu dilihat dan dibahaskan secara sihat," katanya semasa mengulas gesaan pihak tertentu yang mahukan Perlembagaan dipinda terutama yang melibatkan bukan Islam.

Ketika ditanya sama ada Suhakam sedia menerima aduan sekiranya dikemukakan kepadanya oleh balu Moorthy, S.Kaliammal, Siva Subramaniam berkata Suhakam tidak pernah menyekat mana-mana pihak yang merasakan hak asasi mereka telah dicabuli untuk mengemukakan aduan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, Suhakam akan mengkaji sama ada aduan yang dikemukakan itu mempunyai merit dan telah berlaku pencabulan hak asasi manusia atau tidak.

Siva Subramaniam berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum berhubung keganasan polis daripada Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) hari ini, membabitkan tindakan kasar polis ketika menyuraikan satu perhimpunan pada 14 Disember lepas di KLCC semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak Asean.

Memorandum itu juga menuntut Suhakam mengadakan rundingan dengan pihak polis bagi pembebasan semua 90 aktivis Myanmar yang ditahan polis kerana menyertai beberapa perhimpunan sejak Februari lepas bagi menggesa pembebasan pemimpin pro-demokrasi Aung San Syu Kyi daripada tahanan dalam rumah.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Ketua Penerangan Keadilan, Tian Chua di pejabat Suhakam di Menara Tun Razak di Kuala Lumpur.