Bilik guru SMK Medamit kira-kira 50km dari Limbang musnah dalam kebakaran awal pagi ini, namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang Tawang Lingem berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.28 tengah malam tadi, namun kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.26 pagi.

“Kebakaran melibatkan bangunan bilik guru dua tingkat, dan bahagian yang terbakar ialah tingkat atas dengan peratus kebakaran sekitar 50 peratus,” katanya hari ini.

Tawang berkata bomba menggunakan dua sumber air iaitu dari jentera dan sumber air terbuka untuk mengawal dan memadamkan kebakaran.

Menurutnya punca kebakaran masih disiasat dan setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

Sementara itu, empat rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Seberang Tok Pi di Kuala Perlis malam tadi.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis, Muhamad Firdaus Yusop berkata tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian di perkampungan nelayan itu.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan lebih kurang 9.45 malam tadi dan api dapat dikawal kira-kira sejam selepas itu.

Katanya operasi memadam dan mengawal kebakaran itu membabitkan 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Padang Besar dan Simpang Empat dengan dibantu 25 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Padang Besar dan Simpang Empat.

Punca dan nilai kebakaran belum diketahui setakat ini, katanya.

Turut meninjau kebakaran itu ialah Anggota Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis Noor Azam Karap.

- Bernama