Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi telah bersedia dengan helikopter canggih yang mencukupi untuk operasi memadam kebakaran, menyelamat, mencari dan meninjau semasa musim haji sekarang.

Pengarah jabatan tersebut Kol. Jameel Muhammad Arbaeen berkata, pegawainya telah memeriksa 5,176 bangunan dan lebih 750 restoran dan hotel di sini bagi memastikan mereka mematuhi peraturan keselamatan.

Dalam kenyataannya yang dilaporkan Agensi Akhbar Saudi di Mekah, beliau berkata mereka turut memeriksa keadaan keselamatan di 51 buah terowong di seluruh bandar ini.

"Kami telah mengambil langkah untuk memperbaiki kecekapan unit pemadam kebakaran dan penyelamat kami," katanya.

Menurut laporan Bernama, jabatan tersebut turut mengambil langkah berhati-hati dalam menangani masalah banjir kilat semasa musim haji itu.

Kol. Jameel juga berkata jabatannya telah meletakkan tujuh pasukan dalam keadaan berjaga-jaga bagi memantau pencemaran radioaktif, kimia dan bakteria.

Pasukan ini akan memeriksa kadar pencemaran di dalam terowong dan kawasan perumahan yang sesak.

Kain Kiswa

Lebih 2.5 juta bakal haji termasuk lebih 1.5 juta orang dari negara asing dijangka mengerjakan haji pada musim ini, yang akan bermula dengan wukuf di Arafah yang terletak di sempadan bandar Mekah pada 9 Zulhijah atau sehari selepas itu bergantung kepada penglihatan anak bulan.

Dalam perkembangan lain, Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah, Sheikh Saleh Al-Hussayen akan menyerahkan Kiswa (kain penutup) Kaabah kepada penjaga Kaabah pada 1 Januari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris Arab Saudi, Arab News melaporkan majlis penyampaian Kiswa akan diadakan di kilang yang membuat kain itu di Um Al-Joud, dekat Mekah.

Kiswa tersebut akan diletakkan di Kaabah pada satu majlis yang dianjurkan oleh ketua presiden itu dan dijangka dihadiri pegawai Arab Saudi serta diplomat dari negara Islam pada hari wukuf di Arafah.