Bekas Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Sheikh Ghazali Abdul Rahman mahu kerajaan mewujudkan enakmen kawalan agama bukan Islam bagi mengekang kegiatan cubaan penyebaran agama lain seperti yang didakwa berlaku di Pulau Pinang.

Katanya, siastan yang dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) terhadap individu yang didakwa mengedar kitab Bible di hadapan sebuah sekolah di negeri itu hanya sia-sia selagi tiada peruntukan digariskan terhadap kesalahan itu.

“JHEAIPP boleh siasat sahaja, tindakan tak boleh dibuat. Atas peruntukan undang-undang apa hendak digunakan bagi mendakwa mereka (yang didakwa mengedar Bible) itu?

“Sebab itu, enakmen kawalan agama bukan Islam ini penting diwujudkan di semua negeri kerana ingin memastikan tidak berlaku perbuatan seperti ini terhadap orang Islam,” katanya seperti dilapor akhbar Utusan Malaysia, hari ini.

Semalam, enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Enam NGO itu ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amanah Rahsia Cekal (ARC), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Reformis dan Kipidap.

Rabu lalu, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata dakwaan berkenaan sedang disiasat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan pihak polis.

Sementara itu, dalam laporan berkenaan, pakar perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, enakmen tersebut amat penting kerana perkara yang berkaitan dengan penyebaran agama merupakan isu yang cukup sensitif di negara ini selain kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Justeru katanya, Putrajaya perlu membawa usul berkenaan ke Dewan Rakyat dengan segera memandangkan Wilayah Persekutuan bukan sebuah negeri dan tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN).

Shamrahayu turut berkata tiga kerajaan negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak pula bertanggungjawab melakukan tindakan yang sama di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Gesaan supaya menggubal enakmen undang-undang ini sebenarnya telah melepasi masa terlalu lama, kita bimbang perbuatan yang sama seperti di Pulau Pinang itu berlaku lagi sehingga tidak mampu dikawal,” katanya yang dipetik akhbar itu.