Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Misteri' dana SJKT terungkai: Ada jawapan dalam surat bocor ini

Sumber yang dekat dengan bekas perdana menteri Najib Razak mendedahkan sepucuk surat bagi membuktikan peruntukan RM39.7 juta kepada sekolah-sekolah Tamil yang didakwa diumumkan tanpa kelulusan sebagai tidak benar.

Surat 19 Mac 2018 dari Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) kepada Najib itu antaranya menyenarai pendek 13 sekolah yang perlu diberi perhatian segera dan meminta peruntukan RM39.7 juta.

Permohonan itu dibuat bagi tujuan pembinaan lokasi baharu dan bangunan tambahan.

"Menyusul surat itu, Najib pada hari yang sama meluluskan peruntukan RM39.7 juta.

“Beliau turut meminitkan surat tersebut meminta ketua setiausaha perbendaharaan iaitu Tan Sri Irwan Serigar (bahawa) beliau setuju mohon tindakan selanjutnya,” kata sumber.

Sumber justeru mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sengaja memburuk-burukkan pentadbiran terdahulu bawah pimpinan Najib.

Salinan surat itu turut dibocorkan kepada Malaysiakini.

Kenyataan itu selari dengan bekas timbalan menteri pendidikan 1 Datuk P Kamalanathan sebelum ini bahawa peruntukan itu telah diluluskan, iaitu oleh Najib sendiri.

Katanya, kerajaan baru, Jabatan Perdana Menteri dan ketua setiausaha perbendaharaan baharu mungkin terlepas pandang perkara itu.

Oada 26 Oktober, satu sumber Kementerian Pendidikan memberitahu Malaysiakini bahawa dana RM39.7 juta itu tidak mendapat kelulusan kabinet.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik justeru menggesa Najib menjawab ke mana hilang dana tersebut.

Sementara itu, sebuah NGO pro-PH berasa terkejut dengan kenyataan Kementerian Pendidikan yang menafikan kelulusan dana tersebut.

"Kami agak terkejut. Dan kami mahu kerajaan sekarang perlu memberi perhatian terhadap dan tersebut," kata Presiden Empowering Tamil School Malaysia Kannan Ramasamy.

"Kami berharap kerajaan PH baru menyelesaikan isu ini agar mendapat semula keyakinan kaum India yang agak sensitif dengan isu-isu sekolah Tamil.

“Kami juga harap Kementerian Pendidikan segera mendedahkan hala tuju mereka berkenaan masa depan sekolah Tamil di negara ini," tambahnya beliau.

Lihat Komen
ADS