Berita Malaysiakini

'Membingungkan' - Maszlee lantik bekas menteri BN di UKM

Diterbitkan  | 

Penasihat media perdana menteri A Kadir Jasin menyindir Menteri Pendidikan Maszlee Malik susulan lantikan Abdul Wahid Omar sebagai pengerusi lembaga pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Menteri Pendidikan Maszlee Malik terus membingungkan saya dengan tindakan-tindakannya – terbaru dengan melantik bekas pengerusi PNB Abdul Wahid Omar sebagai pengerusi lembaga pengarah UKM.

“Mungkin Maszlee tidak sedar bahawa Abdul Wahid sudah digugurkan dari PNB atau dia tidak setuju dengan pengguguran itu.

“Atau Maszlee ini terlalu bijak untuk difahami manusia biasa,” kata Kadir.

Tempat Wahid di PNB digantikan oleh bekas pengerusi Bank Negara Zeti Akhtar Aziz pada 1 Julai selepas beliau meletakkan jawatan.

Isnin lalu, Wahid, bekas menteri era BN, dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah UKM berkuat kuasa 1 November hingga 31 Oktober.

Selepas pembentukan kerajaan baru Mei lalu, ramai pegawai kanan kerajaan telah berundur atau digugurkan.

Ini termasuk bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah dan bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Aziz Abdul Rahim

Menteri undang-undang pada Julai lalu memberitahu Dewan Rakyat, keseluruhan 18 penjawat awam kanan telah digugurkan.

Maszlee sebelum ini terpalit kontroversi susulan lantikannya sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA), September lalu, walaupun Pakatan Harapan berjanji membebaskan universiti daripada cengkaman politik.