Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekalan rizab gas Sarawak 15 hingga 17 tahun akan datang
Diterbitkan:  Nov 9, 2018 2:38 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Rizab gas negeri yang ditemui dianggarkan boleh memberi bekalan untuk tempoh 15 hingga 17 tahun akan datang pada kadar pengeluaran tahunan sebanyak 5,000 MMscf sehari, kata Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol.

Beliau berkata minyak dan gas di Sarawak menggunakan piawaian nisbah rizab kepada pengeluaran kepada kadar pengurangan terserlah.

Sehubungan itu, katanya penting bagi negeri ini melalui Petroleum Sarawak Berhad (Petros) menguatkuasakan pengawasan dan melindungi kepentingan minyak dan gasnya.

“Pada masa ini, Petros menyasarkan penyertaan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) untuk beberapa aliran penjanaan pendapatan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo pada sesi soal jawab persidangan DUN Sarawak di sini hari ini.

Abdullah berkata Sarawak menyumbang 52.7 peratus sumber gas kepada rizab negara dan merupakan negeri pengeluar gas asli terbesar di Malaysia, iaitu pada 52.89 TSCF daripada jumlah keluaran negara pada 2017.

Beliau berkata Sarawak juga merupakan penyumbang terbesar melalui aliran pendapatan rizab gas tersebut daripada lojinya di Bintulu-MLNG dan Shell MDS.

Bagi menambah penyertaan negeri dan pendapatan daripada rizab gas, katanya PETROS telah diberi mandat oleh kerajaan negeri untuk memainkan peranan sebagai pengawal selia utama dan pemain aktif PSC gas negeri ini.

“Petros akan mengukuhkan pengawasan sumber-sumber gas melalui Strategi Jaringan Bersepadu, mengimbangi bekalan huluan dengan penggunaan hiliran dan pendapatan yang disasarkan,” katanya.

Abdullah berkata peranan dan portfolio perniagaan Petros disokong oleh kerajaan negeri yang ingin meningkatkan sumbangan pendapatan daripada hasil minyak dan gas kepada jumlah pendapatan negeri ini.

Katanya pendapatan negeri daripada hasil minyak dan gas kira-kira RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS