Tiada cadangan bayar gaji bulanan kepada anggota majlis tempatan
Kerajaan negeri belum ada sebarang cadangan untuk menaikkan kadar elaun dan membayar gaji bulanan kepada anggota majlis tempatan, kata Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil.
Beliau berkata buat masa ini, anggota majlis tempatan di negeri ini dibayar elaun sebanyak RM100 setiap kali mereka hadir ke mesyuarat dan dihadkan kepada tujuh mesyuarat sebulan.
Menurut Penguang, tiga majlis bandar raya, tiga majlis perbandaran dan 20 majlis daerah di negeri ini tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, malah hampir semua majlis daerah mengalami defisit menyebabkannya tiada kemampuan untuk menaikkan kadar elaun anggota majlis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Awla Idris (Bersatu-Simunjan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Mengenai kriteria pelantikan anggota majlis, beliau menjelaskan mereka hendaklah mempunyai kelayakan dalam bidang-bidang tertentu seperti jurutera dan bidang-bidang yang ada kaitan dengan bidang tugas majlis.
-- Bernama

