Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TLDM guna peruntukan sebaik mungkin
Diterbitkan:  Nov 9, 2018 3:50 PM
Dikemaskini: 7:50 AM


Peruntukan yang diberikan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam Belanjawan 2019 perlu digunakan sebaik mungkin untuk memastikan keselamatan komuniti maritim di negara ini terus terjamin, kata Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Beliau berkata bahawa pengurangan peruntukan kepada TLDM pada tahun hadapan dilihat agak ketara dan perlu dikaji impaknya kepada komitmen untuk memenuhi keperluan operasi keselamatan maritim.

"Kita telah mendengar bajet untuk tahun hadapan dan ia adalah seperti yang kita jangka memandangkan cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dan kesan ekonomi dunia yang tidak menentu pada masa kini.

"Dengan pengurangan bajet yang besar untuk 2019 ini kita perlu melakukan sesuatu yang luar daripada kebiasaan untuk mengurangkan risiko kepada dua aspek iaitu, komitmen kita terhadap operasi keselamatan maritim serta menentukan aspek keselamatan anggota dan kapal," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga TLDM, Sepanggar di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata pengurangan peruntukan berkenaan perlu dilihat dengan lebih serius untuk memastikan ia tidak memberi kesan kepada anggota dan kapal TLDM.

"Ini kerana kita tidak boleh berkompromi dalam aspek keselamatan anggota dan kapal kita. Oleh itu kita akan kaji dengan teliti untuk tindakan sewajarnya. Oleh itu TLDM akan mengangkat isu cabaran ini kepada pihak Kementerian agar ianya dapat dipertimbangkan. Kita juga akan terus berusaha untuk memastikan ia tidak memberi kesan serius kepada TLDM secara keseluruhannya.

Pada masa yang sama, Ahmad Kamarulzaman juga yakin kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) dapat memberi sokongan terhadap perancangan jangka panjang TLDM, khasnya pelan transformasi TLDM.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan khasnya menteri pertahanan kerana telah memberi perakuan terhadap rancangan jangka panjang kita iaitu Program Transformasi '15 to 5'.

"Program ini dapat menentukan kapal-kapal lama yang tidak kos efektif untuk dioperasikan dapat digantikan dengan yang baharu secara berperingkat. Kita tidak perlu kapal besar dan mahal..apa yang penting adalah kapal yang sesuai untuk tujuan kerana ia amat penting agar kehadiran kapal di laut berupaya memastikan keselamatan komuniti maritim terus terjamin.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis itu, Ahmad Kamarulzaman berkata ia diadakan sempena persaraannya pada hujung bulan ini.

"Saya akan menyerahkan tampuk pemerintahan TLDM selepas tiga tahun menerajuinya. Saya akan bersara setelah 42 tahun berkhidmat.

"Ini merupakan satu rasa kebangaan dan satu perasaan kepuasan hati yang sangat tinggi dalam tempoh 42 tahun berkhidmat kepada negara, terutama 3 tahun terakhir sebagai Panglima Tentera Laut. Oleh itu saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga kerja TLDM yang telah menyokong dan memberi sokongan padu kepada saya selama ini," tambahnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS