Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Nan tarik balik dakwaan Sivarasa guna masjid untuk tujuan politik
Diterbitkan:  Nov 9, 2018 4:05 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menarik balik kenyataan beliau terhadap Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah, yang menuduh ahli Parlimen PKR itu memberi ucapan politik semasa melawat Masjid An-Nur di Kampung Melayu Subang, Selangor pada Mei tahun lalu.

Penyelesaian itu dirakamkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Wan Ahmad Farid Wan Salleh di kamar hakim dengan kehadiran peguam Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin mewakili Sivarasa dan peguam S Satharuban bagi pihak Tengku Adnan.

"Perkara ini telah diselesaikan secara baik dan anak guam saya sudah menarik balik kenyataannya. Tiada perintah dibuat mengenai kos dan tarikh perbicaraan dikosongkan," kata Satharuban.

Ini telah disahkan oleh Latheefa yang berkata Sivarasa tidak mahu memanjangkan isu itu dan menerima penarikan balik kenyataan tersebut.

"Tiada perintah mengenai kos atau ganti rugi," katanya.

Kenyataan Tengku Adnan yang juga adalah Ahli Parlimen Putrajaya berbunyi "Saya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selaku defendan di dalam guaman sivil ini dengan ini menarik balik kenyataan saya bertarikh 1Jun, tahun lepas yang mana jadi asas tuntutan Sivarasa terhadap saya seperti diplidkan di perenggan 3 penyataan tuntututan."

Adalah dilaporkan bahawa Sivarasa memfailkan saman itu pada 13 Jun tahun lalu, berikutan tuduhan Tengku Adnan bahawa beliau memberi ceramah politik semasa melawat Masjid An-Nur di Kampung Melayu Subang, Selangor pada bulan Mei.

Sivarasa mendakwa kenyataan Tengku Adnan itu dibuat dengan niat jahat kerana berceramah politik semasa membuat lawatan ke masjid, adalah suatu perbuatan yang dilarang di Selangor.

Lawatan Sivarasa ke masjid itu kemudiannya menimbulkan kekecohan dan mencetuskan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau seterusnya terpaksa memohon maaf kepada Sultan Selangor di dalam surat yang menerangkan apa yang sebenarnya berlaku semasa program tersebut.

Lihat Komen
ADS