Berita Malaysiakini

Perubahan aliran lalu lintas di simpang Jalan Sultan Ismail/Jalan P Ramlee

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan perubahan aliran lalu lintas di persimpangan Jalan Sultan Ismail/Jalan P Ramlee dari arah Jalan Perak bermula pukul 12.01 pagi, Ahad ini.

DBKL dalam kenyataan hari ini berkata kenderaan di Jalan P Ramlee arah dari Jalan Perak dibenarkan membelok ke kiri dan kanan ke Jalan Sultan Ismail dan terus menghala ke Jalan Raja Chulan di persimpangan tersebut.

Menurut kenyataan, perubahan itu bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak petang di jalan-jalan utama dalam kawasan pusat bandar terutama di Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan dan Jalan Imbi.

Pendekatan yang digunakan adalah memperbanyakkan laluan keluar dari kawasan pusat bandar dan memperuntukkan lebih banyak lorong lalu lintas bagi menambah kapasiti laluan-laluan keluar dari pusat bandar.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua strategi ini akan melancarkan dan mempercepatkan pergerakan keluar kenderaan dari kawasan pusat bandar pada waktu puncak.

- Bernama