Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
16 jalan utama sekitar KL ditutup beberapa jam Ahad ini
Diterbitkan:  Nov 9, 2018 5:24 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Beberapa jalan utama sekitar bandar raya Kuala Lumpur akan ditutup Ahad ini bersempena OCBC Cycle KL 2018 seawal pukul 6 pagi, dan dibuka semula secara berperingkat pada pukul 10 pagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dalam pengumuman hari ini berkata laluan 42 km acara itu akan menyusuri beberapa mercu tanda utama di tengah kota raya, dan polis sedang gigih membuat persiapan bagi memastikan acara berlangsung dengan selamat, lancar dan berjaya.

Beliau berkata jalan yang terlibat ialah Jalan Raja Laut, Jalan Dang Wangi, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Conlay, Jalan Stonor, Jalan Kia Peng, Jalan Perak, Jalan P. Ramlee, Jalan Putra, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Kuching, Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Datuk Onn dan Jalan Kinabalu.

Menurutnya kira-kira 2,000 peserta, yang turut termasuk pelancong dari luar, akan mengambil bahagian dalam acara yang memasuki edisi keempat itu, yang akan bermula dari Dataran Merdeka.

“Di pihak kami, polis akan memastikan penutupan jalan dilaksanakan dengan teratur, dan trafik bergerak dengan lancar dan selamat sepanjang acara berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelan laluan acara itu di sini hari ini.

Mazlan berkata 96 anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 36 anggota warden trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditugaskan mengawal keselamatan serta lalu lintas sepanjang acara itu.

Sehubungan itu beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan selain menggunakan jalan alternatif atau menggunakan pengangkutan awam serta sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan anggota polis bertugas.

Turut hadir dalam persidangan media hari ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan OCBC Cycle KL 2018 Datuk Naim Mohamad.

-Bernama

Lihat Komen
ADS