Berita Malaysiakini

Andy Yong tanding presiden Gerakan, namakan Oh timbalan

Diterbitkan  | 

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong Kim Seng hari ini mengumumkan beliau akan bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti itu akan datang.

Pada sidang akhbar hari ini bersama-sama 10 anggota Gerakan, beliau juga berkata pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden, sebagai salah seorang anggota pasukannya.

Menariknya, Oh juga merupakan pasangan bagi naib presiden Gerakan, Dominic Lau, yang telah mengumumkan dua hari lalu akan bersaing untuk jawatan presiden.

Bagaimanapun, Oh tidak hadir pada sidang akhbar petang ini, yang diadakan di ibu pejabat parti Kuala Lumpur.

Apabila ditanya mengapa Oh dimasukkan dalam kedua-dua kem berkenaan, Yong hanya berkata Oh adalah calon yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Sementara itu, Yong menambah empat lagi dari pasukannya akan bertanding bagi jawatan naib presiden.

Mereka ialah Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Baljit Singh, anak perempuan blogger Raja Petra Kamaruddin, Raja Sara Petra, Setiausaha Tetap Gerakan Johor Yap Yeen Min dan Ketua Biro Publisiti Gerakan Pulau Pinang, Ooi Zhi Yi.

Ooi akan bertanding untuk jawatan ketua pemuda parti itu dan akan dipilih sebagai naib presiden apabila menang.

Gerakan kini mempunyai kira-kira 300,000 ahli dan 2,099 perwakilan pusat.

[Baca berita penuh]