Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MT Umno tidak bincang isu presiden bercuti - Zahid Hamidi

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini tidak membincangkan tentang kedudukan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno dan desakan yang memintanya bercuti.

Zahid berkata, apa yang disebut oleh Pemuda Umno ketika mesyuarat Exco baru-baru ini hanyalah cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh MT.

“Tak ada perbincangan. (Itu) cuma pandangan, dan kita raikan pandangan itu. Tak ada seorang pun ahli MT termasuk Pemuda yang meminta saya bercuti.

“Pemuda menyebut bahawa mesyuarat Exco dulu cuma mencadangkan untuk dipertimbangkan oleh MT, terutama oleh presiden Umno sendiri. Itu sajalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat MT Umno di Menara Datuk Onn, di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

Pada 25 Oktober lalu, Pemuda Umno menggesa Ahmad Zahid mengambil cuti daripada jawatan presiden supaya dapat memberi sepenuh perhatian terhadap kesnya di mahkamah.

Gesaan itu berikutan Ahmad Zahid didakwa di mahkamah dengan 45 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa MT Umno memberikan sokongan penuh terhadap Musa Aman yang mahu membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menolak saman pemulanya berhubung isu ketua menteri Sabah.

Beliau turut mengharapkan sokongan yang sama dapat turut diberikan kepada Musa oleh Umno Sabah.

“MT menyokong rayuan Musa Aman terhadap keputusan oleh Mahakamah Tinggi semalam.

"Kita harap kepimpinan dan Umno sabah akan terus bersama di dalam sebuh pasukan Umno yang kuat dan kita terus mnyokong sebarang tindakan perundangan dan politik yang dilakukan oleh Umno Sabah," katanya.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 7 Nov lalu menolak saman pemula Musa terhadap Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin.

Saman itu antara lain bagi memohon mahkamah mengeluarkan perintah mengisytiharkan beliau sebagai ketua menteri yang sah.


Lihat Komen
ADS