Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Semua 48 Ahli Parlimen Umno akan tetap kekal bersama parti itu walaupun ada spekulasi yang mendakwa mereka akan melompat ke parti lain.

Sehubungan itu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mahu segala perbezaan pendapat dihentikan bagi memastikan Umno dapat terus bergerak ke hadapan.

"Saya yakin keseluruhan 48 Ahli Parlimen (Umno) akan tetap bersama-sama dengan kita dan tidak akan meninggalkan parti itu.

"Di bawah Umno terus kuat, perkukuh diri sebagai sebahagian gagasan pembangkang. Tidak perlu kita ketuk pintu atau pintu kita diketuk untuk buat rundingan.

"Kita harus bergerak sebagai parti yang kuat dan bersama-sama. Ahli-Ahli Parlimen aset kita, harus kukuh perpaduan sesama kita," katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Menara Dato' Onn di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengajak kepimpinan Umno di semua peringkat menolak sebarang usaha yang cuba memecahbelahkan parti sama ada dari luar mahupun dalam.

Pada sidang media itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan meneruskan tugas-tugasnya sebagai pemimpin parti selepas pertikaian pendapat mengenai kedudukannya berikutan kes mahkamah yang dihadapi diselesaikan bersama barisan kepimpinan parti hari ini.

Katanya perbezaan pendapat dalam kepimpinan Umno termasuk gesaan sayap Pemuda supaya beliau berehat untuk sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada kes mahkamah, telah diselesaikan secara baik.

“Kita bergerak ke hadapan untuk mengukuhkan perjalanan parti.

“Perbezaan pendapat diletakkan titik noktah, kita harus bersama untuk menterjemahkan kebersamaan kepimpinan Umno di semua peringkat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut memberitahu bahawa antara isu utama yang dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Katanya, Umno menolak sepenuhnya ratifikasi ICERD dan meminta kerajaan menghentikan langkah yang akan menjejaskan persefahaman masyarakat.

Beliau yang akan bergandingan dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam satu perhimpunan di Pasir Salak pada 17 November nanti juga meminta Pemuda Umno dan PAS bergerak bagi melakukan program di peringkat belia yang dapat menterjermahkan penolakan tersebut.


Lihat Komen
ADS