Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Tiada isu firma China kendali projek kereta nasional ke-3
Diterbitkan:  Nov 9, 2018 8:49 PM
Dikemaskini: 1:55 PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mempunyai masalah jika projek kereta nasional ketiga dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta dari China.

"Kereta nasional ketiga adalah usaha sektor swasta, bagaimana mereka akan melakukannya, serah kepada mereka.

"Mereka boleh dari Jepun, China atau Korea. Kami tidak mempunyai syarat untuk mereka," katanya di luar Forum Ekonomi China Sedunia hari ini.

Pemimpin berusia 93 tahun bercakap mengenai Dasar Pandang Ke Timur ditanya sama ada beliau akan mengalu-alukan firma Cina membangunkan kereta nasional ketiga.

Sebelum ini, Mahatir berulang kali mendakwa Proton yang diasaskannya, tidak lagi boleh dianggap kereta nasional apabila menjual 49.9 peratus pegangan kepada Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) China.

Cita-cita beliau untuk memiliki kereta nasional ketiga, selepas Proton dan Perodua, bagaimanapun tidak diterima baik di negara ini.

Putrajaya menetapkan untuk melancarkan kereta nasional baru itu pada tahun 2020.

Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dilapor meneliti hampir 50 cadangan daripada para pemain industri tempatan yang ingin menjadi sebahagian daripada Program Pembangunan Vendor (PPV) kereta nasional ketiga itu.

Ketua Setiausaha MED, Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata kementerian akan bertemu penyelaras dasar kereta nasional ketiga, Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) mengenai cadangan itu.

Lihat Komen
ADS