Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perhatian kepada Julau akibat sentimen keterlaluan - Saifuddin
Diterbitkan:  Nov 9, 2018 9:40 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution pendaftaran keanggotaan baru bagi cabang Julau dilakukan secara telus dan mengikut garis panduan ditetapkan Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

"Perhatian yang berlebihan terhadap kes yang melibatkan cabang Julau ini adalah akibat sentimen keterlaluan bagi mempertahankan kelompok masing-masing.

"Sedangkan kesemua proses pengurusan yang melibatkan proses pengundian di cabang-cabang dan pendaftaran keanggotaan baru parti ini telah dilakukan secara telus, terbuka dan bertanggungjawab mengikut keputusan dan garis panduan yang telah dipersetujui dan ditetapkan sama ada melalui MPP mahu pun Biro Politik parti, "katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin menjelaskan MPP pada 25 Jun lalu memutuskan untuk menerima permohonan melalui kaedah borang dan manual iaitu penyerahan permohonan secara soft copy.

"Mengikut rekod Ibu Pejabat Keadilan, penerimaan permohonan keanggotaan baru yang tidak secara atas talian (secara manual) setakat jam 12 malam, 26 Jun 2018 adalah berjumlah 22,673 dari seluruh negara.

"Sementara itu, mengikut rekod Ibu Pejabat Keadilan juga, permohonan Cabang Julau telah diterima pada jam 2 petang 12 Jun 2018.

"Kesemua permohonan keanggotaan baru yang secara manual ini telah diproses oleh Ibu Pejabat Keadilan pada 27 Jun 2018," katanya.

Bagi tujuan pemilihan, katanya, MPP juga telah bersetuju bahawa tarikh tutup permohonan keanggotaan baru ialah pada 26 Jun 2018, tepat jam 12 malam.

Sementara itu, Biro Politik PKR telah melantik Dr Xavier Jayakumar untuk mengetuai Jawatankuasa Khas bagi meneliti kesemua bantahan yang dibuat oleh cabang.

Namun katanya, sehingga tarikh tutup bantahan pada 17 Julai tiada sebarang bantahan diterima oleh Ibu PKR dari cabang Julau.

Bagaimanapun, katanya ibu pejabat PKR telah menghantar kakitangan untuk turun sendiri ke cabang Julau bagi mengumpul kesemua borang permohonan keanggotaan baru parti dan membawa kesemuanya untuk proses verifikasi.

'Lebih 1,000 ahli baru di Batu'

Sebagai perbandingan, Saifuddin berkata PKR juga menerima aduan berkenaan lebih 1000 permohonan keanggotaan baru melibatkan cabang Batu, yang dilakukan tanpa sebarang serahan borang permohonan keanggotaan sehingga hari ini.

"Begitu juga aduan terhadap kes-kes permohonan pendaftaran anggota baru di Selangor dari kalangan anggota Rela dan penerima-penerima bantuan dari kerajaan negeri Selangor, yang kesemuanya telah didaftarkan sebagai anggota baru parti tanpa pengetahuan mereka di beberapa cabang di Selangor.

"Kes-kes seperti ini telah dimaklumkan kepada Biro Politik dan permohonan keanggotaan baru untuk kes-kes tersebut telah diterima oleh Biro Politik secara sebulat suara. Namun tiada liputan media berlaku dalam kes-kes tersebut selain daripada cabang Julau," kata Saifuddin.

Secara berasingan, Saifuddin memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa anggota Parlimen Julau Larry Sng telah menyerahkan permohonan keanggotaan untuk seramai 13,000 penyokongnya pada 12 Jun.

Saifuddin juga mempertikaikan laporan Malaysiakini bahawa alamat kira-kira 11,000 anggota yang didaftar adalah meragukan dan sebaliknya mengatakan portal itu melihat salinan keanggotaan yang tidak tepat.

Kenyataan Saifuddin hari ini tidak menjawab laporan oleh media Sarawak berhubung individu yang mendakwa mereka telah didaftarkan sebagai anggota cabang PKR Julau tanpa pengetahuan mereka.

Pada 21 Sept, Malaysiakini memperincikan bagaimana angka keanggotaan PKR melonjak antara 5 dan 26 Jun.

Bagaimanapun, rekod keangotaan Julau PKR menonjol apabila Malaysiakini mendapati seramai 12,946 nama baru dimasukkan dalam pendaftaran parti itu pada 27 Jun - menandakan kenaikan 2,147 peratus dari hari sebelumnya.

 

Lihat Komen
ADS