Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MPM bimbang jurang kekayaan semakin melebar
Diterbitkan:  Nov 10, 2018 7:19 AM
Dikemaskini: 11:28 PM

Majlis Perundingan Melayu (MPM) melahirkan kebimbangan terhadap langkah yang dicadangkan dalam Belanjawan 2019, tidak menangani secara khusus isu-isu menangani jurang kekayaan antara kumpulan, sekali gus melebarkan jurang kekayaan.

Pakar Perunding Ekonomi MPM Datuk Akbar Ali berkata Belanjawan 2019, yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2 Nov sebagai kesinambungan kepada Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (KSP RMK11), tidak menangani secara jelas bahagian pertama Tonggak II (Memperkukuh Pembangunan Inklusif) rancangan pembangunan lima tahun itu.

Selain tiada perhatian khusus diberikan kepada isu menangani jurang kekayaan, tiada juga usaha untuk menambah pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 11 peratus setahun, seperti dipahatkan dalam KSP RMK11.

“Lantaran itu, dikhuatiri matlamat untuk merapatkan jurang kekayaan antara kumpulan seperti antara kaum melalui perkongsian kemakmuran yang dijuarai oleh YAB Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia, tidak akan tercapai,” kata Akbar dalam satu kenyataan semalam.

Merujuk penjualan aset, yang dicadangkan dalam Belanjawan 2019, Akbar berkata tiga daripada empat kaedah yang dikemukakan adalah mencurigakan meskipun prinsipnya baik untuk menjunjung prinsip ketelusan dan semangat persaingan.

Tiga kaedah tersebut iaitu mengurangkan pegangan kerajaan dalam syarikat bukan strategik; melaksanakan model kerjasama awam swasta (Public-Private Partnership) melalui proses transaksi tukaran tanah; dan menjual tanah secara berjadual.

“Mekanisme yang akan diguna pakai ialah tender terbuka atau dijual kepada pembida tertinggi untuk memaksimumkan hasil. Mekanisme ini belum tentu lagi adil kepada semua, terutama jika ia turut dibuka kepada orang asing, kerana padang yang tidak sama rata. Yang demikian, sebelum ia dilaksanakan, perlulah dipastikan terlebih dahulu bahawa persaingan itu adil dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan.

Merujuk hasrat kerajaan untuk mengeluarkan (divest) syarikat-syarikat dalam sektor yang tidak strategik di bawah badan berkanun yang menghimpit atau crowding out sektor swasta. Akbar berkata ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati pihak swasta termasuk di kalangan usahawan bumiputera.

“Menteri Kewangn hendaklah menjelaskan dengan jujur kaedah ‘divestment’ yang hendak dilaksanakan itu supaya terhindar daripada tomahan telunjuk lurus kelingking berkait. Adakah prinsip pelaksanaannya berpaksikan matlamat untuk merapatkan jurang kekayaan antara kaum yang berpayungkan konsep berkongsi kemakmuran?” katanya.

Akbar menegaskan peluang hendaklah dibuka kepada bumiputera yang layak dan berkemampuan melalui mekanisma persaiangan yang adil, bukannya diberi kepada kroni.

Mempersoalkan asas peruntukan dalam menaik taraf dan menyelenggara sekolah, Akbar berkata isu yang timbul adalah peruntukan tidak adil dan saksama (equitable) menjadikan peruntukan purata yang lebih kecil bagi sekolah kebangsaan berbanding sekolah-sekolah lain boleh menyebabkan jurang kesejahteraan hidup antara kaum serta antara bandar dan luar bandar bertambah luas.

“Sekiranya keutamaan masih lagi tidak ditumpukan kepada merapatkan jurang antara kumpulan ‘per se’ (gap centric) maka, seperti yang terbukti sejak 2009, Belanjawan 2019 ini akan melebarkan lagi jurang tersebut,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS