Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keahlian parti Amanah bertambah 10,000 sebulan - Mat Sabu
Diterbitkan:  Nov 10, 2018 7:05 AM
Dikemaskini: 11:36 PM

Peningkatan keanggotaan seramai 10,000 orang setiap bulan membuktikan sokongan rakyat terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) kata Presidennya, Mohamad Sabu.

Menurutnya, walaupun baru tiga tahun ditubuhkan, Amanah telah dapat mengumpul lebih 100,000 anggota di seluruh negara dan jumlah itu meningkat dengan pantas selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Beliau berkata paling mengejutkan apabila Kelantan yang menjadi kubu kuat parti Pas menjadi negeri kedua tertinggi menyumbang kepada peningkatan anggota iaitu seramai 2,000 orang sebulan.

"Ini juga secara tidak langsung menunjukkan penerimaan rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di mana Amanah adalah parti komponen di dalamnya.

"Anggota kita paling ramai di Pantai Barat iaitu paling tinggi di Selangor diikuti Kedah dan Johor. Di Pantai Timur pula di Terengganu dan Kelantan kita masih agak perlahan dan usaha keras perlu dilakukan supaya lebih ramai anggota dapat direkrut pada masa akan datang," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan Parti Amanah Negara Negeri Terengganu Kali Ke-3 di Kuala Terengganu semalam.

Konvensyen bertemakan 'Memperkukuh Muafakat Mencipta Gelombang' yang dihadiri 300 anggota parti itu turut dihadiri Pengerusi Amanah Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyangkal tuduhan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa parti Amanah sengaja 'mencuri' anggotanya disebabkan dendam lama.

Mohamad berkata dakwaan tersebut tidak masuk akal dan tiada istilah mencuri dalam politik kerana setiap parti mahukan jumlah keanggotaan yang ramai bagi memperkukuh jentera masing-masing.

"Siapa sahaja rakyat Malaysia berhak jadi anggota Amanah. Kalau anggota dia nak masuk bukan kita curi kerana sesiapa sahaja boleh sertai. Kita tidak berniat untuk menghancurkan siapa-siapa atau berdendam. Parti politik mesti mahu ahli yang ramai tidak kiralah datang daripada mana," katanya.

- Bernama.

Lihat Komen
ADS