Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tekanan penurunan ke atas Bursa Malaysia dijangka berterusan
Diterbitkan:  Nov 10, 2018 10:52 AM
Dikemaskini: 2:54 AM

Bursa Malaysia dijangka kekal mengalami asakan penurunan ke atas harga dalam keadaan sentimen lemah di peringkat domestik ditambah dengan faktor luaran, kata Ketua Pegawai Hubungan Perniagaan, M&A Securities Sdn Bhd, R. Sundararajah.

“Buat masa ini, kami menyaksikan tahap sokongan bagi indeks komposit akan kekal pada paras 1,700. Bagaimanapun, ia mungkin turun kepada 1,680. Jika wujud lebih banyak laporan berita negatif, ia akan memberi tekanan lagi kepada bursa tempatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berpendapat, pasaran tidak memberi reaksi positif kepada Belanjawan 2019 yang dibentangkan minggu lepas memandangkan pelabur menyifatkannya sebagai kekurangan pemangkin untuk melonjakkan pasaran.

“Tindakan Moody’s menurunkan penarafan Petronas semakin menjejaskan sentimen malah pembeli asing terkejut dengan pengumuman ini. Oleh yang demikian, kami perlu melihat kepada kaunter terpilih sekiranya mereka mahu menyertai pasaran tunai ini,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, penanda aras FBM KLCI ditutup 4.78 mata lebih rendah kepada 1,708.09.

Indeks FBM Emas turun 11.39 mata kepada 11,846.26, Indeks FBMT100 susut 8.48 mata kepada 11,688.13, tetapi Indeks FBM Emas Syariah melonjak 121.47 mata kepada 12,11.69.

FBM 70 menokok 110.29 mata kepada 13,845.99, manakala FBM Ace kurang 87.95 mata kepada 4,932.60.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 74.90 mata kepada 17,199.10, Indeks Perladangan turun 27.09 mata kepada 7,362.73, manakala Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.18 mata kepada 173.30.

Perbandingan Jumaat ke Jumaat, jumlah dagangan mingguan mengecil kepada 6.26 bilion unit bernilai RM6.59 bilion daripada 9.63 bilion unit bernilai RM8.15 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 4.09 bilion saham bernilai RM6.12 bilion daripada 6.34 bilion saham bernilai RM7.47 bilion yang dicatatkan pada Jumaat minggu lepas.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 1.07 bilion unit bernilai RM263.87 juta berbanding 1.72 bilion unit bernilai RM414.93 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 917.68 juta saham bernilai RM205.37 juta daripada 1.55 bilion saham bernilai RM259.77 juta.

Sementara itu, dagangan saham Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) akan digantung pada Isnin ini sementara menunggu pengumuman penting.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, MRCB berkata Bursa Malaysia Securities Bhd telah meluluskan permohonannya untuk penggantungan itu.

Waran berstruktur berkaitan MRCB juga akan digantung pada masa yang sama.

- Bernama

Lihat Komen
ADS