Berita Malaysiakini

Operasi cari anggota polis, suspek dikhuatiri lemas diteruskan

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Operasi mencari dan menyelamat seorang anggota polis dan seorang suspek yang dikhuatiri lemas di Sungai Paka dekat Dungun diteruskan pada 7 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata operasi turut disertai Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Kemaman.

"Operasi malam tadi terpaksa dihentikan pada pukul 3.15 pagi kerana cuaca di persekitaran sungai itu sangat gelap dan berkabus.

"Kita berharap operasi pagi ini akan berjalan lancar dan berjaya menemui anggota polis serta suspek tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian di kampung Durian Mentangau, Dungun malam tadi, anggota polis tersebut, Konstabel Wan Mohd Arif Wan Yahya, 28, bersama tiga lagi rakannya sedang mengejar suspek dikenali sebagai Zam Ayam sebelum tergelincir dan terjatuh ke Sungai Paka.

Suspek tersebut dipercayai terlibat dalam kejadian kes samun di Kampung Limbong dekat Paka, Khamis lalu.

- Bernama