Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UIA hanya tahu desas-desus Maszlee akan letak jawatan
Diterbitkan:  Nov 10, 2018 11:37 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) menafikan dakwaan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan meletakkan jawatan sebagai presiden universiti itu dan sedang mencari calon pengganti.

Jurucakap Pejabat Komunikasi Korporat UIAM berkata setakat ini, pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara itu.

“Kami juga tidak tahu daripada mana sumber berita itu diperoleh kerana ia bukan daripada pihak kami.

“Setakat hari ini, kami tidak dimaklumkan apa-apa dan kami mengetahui desas-desus mengenai perkara itu pun daripada portal-portal berita sahaja,” katanya kepada Utusan Online semalam.

Semalam, pembantu menteri itu dilapor berkata meskipun tiada tekanan untuk Maszlee berundur, peletakan jawatannya akan mengambil sedikit masa kerana kini adalah minggu konvokesyen universiti.

Pembantu itu memberitahu Malaysiakini bahawa Maszlee akan meletakkan jawatan sebaik sahaja beliau mendapat pengganti yang sesuai.

Maszlee sebelum ini berada di bawah tekanan untuk meletak jawatan dari UIA sejak dilantik sebagai sebagai presiden ketujuh universiti itu pada September lalu.

Kumpulan mahasiswa melihat kedudukannya melanggar manifesto pilihan raya Pakatan Harapan yang menjamin autonomi universiti, manakala penggubal undang-undang menyifatkan pelantikan itu mempunyai konflik kepentingan memandangkan kedudukannya sebagai menteri pendidikan.

Maszlee pada mulanya enggan melepaskan jawatan tersebut dan menyatakan beliau dilantik sebagai presiden UIA oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah atas nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa ia bertentangan dengan manifesto disebabkan UIA tidak terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) kerana ia mempunyai perlembagaan sendiri.

Lihat Komen
ADS