Berita Malaysiakini

Pemilihan semula 3 cabang PKR Sabah bermula hari ini, esok

Diterbitkan  | 

Pemilihan PKR bagi tiga cabang di Sabah diadakan semula berikutan keputusan pemilihan pada 3 dan 4 Nov lepas yang ditangguhkan, berlangsung mulai hari ini dan esok.

Tiga cabang berkenaan ialah Keningau yang akan menjalankan proses pemilihan pada hari ini manakala dua cabang lagi iaitu Tawau dan Pensiangan akan mengadakan pengundian semula, esok.

Di Keningau, tinjauan Bernama mendapati suasana sekitar pusat pemilihan PKR bagi cabang itu setakat pagi ini berjalan lancar dengan anggota parti sudah mulai memenuhi perkarangan pusat pengundian di Dewan Badminton, Kompleks Sukan Keningau, seawal jam 7 pagi.

Proses pengundian semula itu bermula jam 9 pagi tadi dan dijangka berakhir 4 petang ini.

Anggota keselamatan turut ditempatkan di sekitar pusat pemilihan berkenaan dibantu oleh anggota RELA bagi memantau kelancaran dan keselamatan sekali gus memastikan proses pengundian berlangsung dalam keadaan aman tanpa berlaku sebarang perkara tidak diingini.

Seramai 6,000 anggota bagi cabang itu layak mengundi pada pemilihan kali ini.

- Bernama