Berita Malaysiakini

Ada cubaan sabotaj proses pengundian di Lawas - PKR S'wak

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PKR Sarawak akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pihak luar untuk mensabotaj proses pengundian PKR cabang Lawas hari ini.

Pengerusinya Baru Bian berkata berdasarkan maklumat, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.30 malam semalam untuk memaklumkan bahawa kebenaran menggunakan Stadium Tertutup Lawas ditarik balik, sekali gus tidak membenarkan proses pengundian PKR cabang Lawas pada hari ini.

“Alasan yang diberi ialah ketika surat permohonan diserahkan kepada pengurusan stadium serta pihak berkuasa tempatan, kita menyatakan tujuan Stadium Tertutup Lawas digunakan ialah majlis kesyukuran dan bukan untuk tujuan politik,” katanya kepada pemberita selepas mengundi bagi pemilihan PKR cabang Lawas hari ini.

Baru yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua PKR cabang Lawas menafikan alasan yang diberi itu kerana surat permohonan yang diserahkan dan diluluskan telah secara jelas menyatakan Stadium Tertutup Lawas akan digunakan untuk proses pengundian serta mematuhi semua undang-undang sedia ada.

“Kita sudah mendapat kelulusan dan sudah membayar sewa RM500 untuk menggunakan Stadium Tertutup Lawas tapi di saat-saat akhir diberitahu tidak boleh digunakan, ini cubaan sabotaj dan salah guna kuasa” katanya, sambil mendakwa arahan penarikan balik tersebut dibuat oleh pegawai kanan kerajaan negeri yang memegang jawatan Setiausaha Tetap.

Baru berkata walaupun pada akhirnya proses pengundian dibenarkan dibuat di Stadium Tertutup Lawas pada hari ini namun tindakan awal menarik balik kebenaran tidak sepatutnya berlaku dan tidak menggambarkan pendirian Gabungan Parti Sarawak yang bersedia bekerjasama dengan kerajaan persekutuan.

Beliau mendakwa tindakan sabotaj juga berlaku di dua PKR cabang Lubok Antu serta Julau namun ia berlaku beberapa hari sebelum proses pengundian berlaku dan tidak seperti PKR cabang Lawas yang dimaklumkan pada saat-saat akhir.

Mengenai pengundian hari ini, beliau berkata, proses pengundian berjalan lancar dan berharap semua aanggota menghormati keputusan pengundian demi perpaduan parti.

Sebagai rekod PKR cabang Lawas mempunyai seramai 1,521 pengundi yang layak mengundi pada hari ini.

- Bernama