Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP gesa SPRM siasat pelanggaran Pelan Bandaraya KL 2020

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat semua pihak termasuk pegawai yang terlibat dalam kontroversi pembangunan tanah melibatkan Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (KLCP 2020) yang diwartakan.

Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata SPRM perlu menyiasat dengan teliti pelanggaran berkenaan walaupun ia diluluskan oleh kerajaan terdahulu.

"Kami beritahu SPRM bahawa perbuatan salah laku tidak menghalalkan rasuah, semata-mata kerana diluluskan kerajaan dulu itu tidak bermakna tidak wujud rasuah," kata Yeoh, yang juga timbalan menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Terdahulu, Yeoh dan wakil NGO Save Kuala Lumpur (SKL) mengadakan sidang akhbar di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur untuk menggesa SPRM menyiasat dan bertindak atas laporan yang dibuat.

Yeoh berkata walaupun beliau gembira kerana KLCP 2020 telah diwartakan, pelanggaran yang dilakukan pentadbiran terdahulu adalah serius.

"Pelanggaran tersebut melebihi 270. Senarai pencabulan bagi setiap kawasan parlimen telah diberikan kepada anggota parlimen masing-masing. Saya telah pergi ke SPRM dan beritahu pegawai: ini adalah akuan, ini adalah pelanggaran," katanya.

Dalam hantaran Facebooknya semalam, Yeoh berkata beliau mendapat senarai pelanggaran tersebut daripada DBKL bagi kawasan Segambut dan telah mengemukakannya kepada SPRM.

Yeoh berkata pelanggaran melibatkan kawasan hijau yang menjadi projek perumahan komersial atau perumahan campuran, merupakan suatu perkara serius.

"Ia melibatkan banyak wang dalam urus niaga dan perubahan dalam status perancangan. SPRM perlu menyiasat ke akar umbi.

"Walaupun kita telah menukar pemimpin kerajaan dan politik, menyingkirkan Datuk Bandar yang lama dan Menteri Wilayah Persekutuan, tetapi jabatan dan beberapa pegawai yang masih ada perlu disiasat," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS