Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan mengambil perhatian terhadap pandangan ahli keluarga mangsa pembunuhan berprofil tinggi mengenai cadangan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini.

Menurutnya kerajaan sedang mengkaji pendapat mereka yang mendakwa pemansuhan hukuman berkenaan akan menyebabkan berlaku peningkatan kes jenayah.

"Ya kita sedang kaji sama ada dakwaan ini tepat ataupun tidak. Setiap orang tak boleh buat penilaian melainkan kita ada satu kajian sebenarnya ada meningkatkan (jenayah) atau tidak.

"Tetapi kita mengambil berat terhadap pendapat mereka itu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Beramah Mesra Harapan Kelantan bersama perdana menteri di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendapat keluarga mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi yang mengadakan sidang media di Ibu Negara, semalam.

Antara yang hadir adalah ahli keluarga, jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; timbalan pendakwa raya, Datuk Anthony Kevin Morais dan pegawai bank, Wong Jing Kui.

Menurut mereka pemansuhan hukuman mati adalah tidak adil dan hanya akan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah berat di negara ini. 

Mereka diwakili peguam Christina Teng.

Pada Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata langkah kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori mendapat maklum balas positif daripada pihak antarabangsa.

Sebelum itu, Liew turut memaklumkan kajian untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri.

Lihat Komen
ADS