Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Proses pemilihan PKR S'wak berjalan lancar
Diterbitkan:  Nov 10, 2018 2:40 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Proses pemilihan PKR Sarawak berjalan lancar pagi ini dengan pengerusi PKR negeri dan ahli Parlimen Selangau menang tanpa bertanding bagi ketua PKR cabang Lawas.

Di Lawas, Baru Bian, yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ba'Kelalan, tiba di pusat pengundian di Stadium Tertutup Lawas pada 9.05 pagi dan mengundi menggunakan kaedah e-voting pukul 9.25 pagi.

Di Julau, hujan lebat tidak menghalang ribuan anggota PKR turun untuk mengundi bagi pemilihan parti untuk cabang Julau di Kompleks Sukan Julau seawal 6 pagi, terutamanya mereka yang datang jauh dari pekan Pakan.

Majoriti daripada pengundi yang hadir memakai baju kuning yang memaparkan wajah calon Ketua Cabang, Larry Sng Wei Shien, yang menentang penyandang Semana Sawang.

Pemilihan bagi cabang Julau menarik tumpuan, ia susulan pertambahan ahli PKR kawasan tersebut yang meningkat mendadak daripada hanya 603 pada 26 Jun kepada 13,000 sehari kemudiannya.

Sementara itu di Dewan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan pemilihan PKR cabang Kota Samarahan yang mempunyai 2,000 pengundi berdaftar, berjalan lancar sebaik pusat mengundi dibuka 9 pagi.

Pusat mengundi ini turut dilawati calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, R. Sivarasa dan Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman.

"Saya berpuas hati dengan proses yang berjalan setakat ini (11 pagi). Lagipun cabang ini jumlah anggotanya tidak begitu ramai jadi proses dijangka tidak mengalami masalah," yang juga calon MPP.

Bagi cabang Mas Gading yang mempunyai seramai 1,247 pemilih yang layak, proses pemilihan di Kampung Stenggang, Bau berjalan lancar pagi ini.

Bagaimanapun, proses pemilihan PKR cabang Petra Jaya berlaku sedikit kekecohan apabila 1,526 anggota PKR yang hadir untuk mengundi diberitahu di saat akhir, proses itu ditangguhkan sehingga esok.

Bercakap kepada pemberita, calon Ketua Cabang Petra Jaya Iswardy Morni mendakwa ‘berlaku sabotaj’ berikutan arahan di saat akhir oleh Jawatankuasa Pemilihan PKR negeri diketuai Baharuddin Moksen, yang mempertahankan jawatannya.

Iswardy dijangka membuat laporan polis berhubung perkara itu tengah hari ini.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS