Berita Malaysiakini

4 lelaki menyamar pegawai SPRM minta suapan RM2 jua diteman 6 hari

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Empat lelaki yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan sebanyak RM2 juta untuk menyelesaikan kes melibatkan seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan mengeluarkan perintah reman terhadap keempat-empat lelaki yang berusia antara 33 dan 49 tahun itu bermula hari ini sehingga 15 Nov.

Sebelum itu, keempat-empat lelaki yang memakai baju lokap SPRM dan bergari tiba di perkarangan Mahkamah Putrajaya pada 9.10 pagi.

Semalam, SPRM menahan tiga individu di sebuah kelab golf terkemuka di Sungai Buloh, Selangor pada pukul 3 petang manakala seorang lagi ditahan rumahnya di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur pada pukul 8.15 malam.

Menurut sumber, keempat-empat lelaki berkenaan bersubahat untuk meminta wang suapan sebanyak RM2 juta daripada seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang dipercayai mempunyai kes membabitkan SPRM.

Susulan penahanan itu, SPRM merampas tujuh telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan daripada keempat-empat suspek berkenaan serta wang tunai berjumlah RM48,350 daripada seorang suspek.

Kes yang disiasat bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 ini terbongkar selepas mangsa membuat laporan di SPRM.

- Bernama