Berita Malaysiakini

Dua dokumen jadi pengganti manifesto PH

Anne Muhammad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan berkata dua dokumen sedia ada boleh dijadikan panduan baru bagi menggantikan manifesto Pakatan Harapan (PH) .

Dua dokumen itu adalah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (KSP RMK11) dan Laporan Belanjawan 2019 kerana ia merupakan maklumat baru berkaitan ekonomi negara.

“Kedua-kedua dokumen ini boleh jadi pengganti kepada manifesto kerana ia ditulis berdasarkan maklumat jauh lebih lengkap yang dimiliki kita sekarang berbanding deripada kita menulis manisfesto dahulu,” kata Wan Saiful.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuara Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan di Aswara, hari ini.

Katanya, PH perlu memfokuskan kepada masalah yang ditinggalkan kerajaan terdahulu berbanding hanya menyalahkan mereka.

“Sebaliknya marilah kita fokus daripada bencana-bencana yang kita warisi tersebut berdasarkan maklumat yang lebih tepat kita miliki masa ini, supaya kita boleh terus menjaga kebajikan anak bangsa dan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful menggesa rakan-rakan dalam PH supaya menyegerakan janji yang masih mampu dilaksanakan.

“Sudah sampai masanya untuk pemimpin atasan negara dan para pemimpin parti-parti komponen dalam PH untuk duduk berbincang secara serius dengan memutuskan janji mana boleh dicapai dengan segara dan janji mana yang perlu dijadualkan semula.

“Yang paling penting janji mana yang perlu kita batalkan sepenuhnya kerana mungkin kita ada maklumat baru yang membolehkan kita tahu bencana sebenar yang kita warisi daripada Umno dan BN - yang lantas menghalang kita dalam melaksnakan yang kita janjikan dahulu,” katanya.