Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sumber: Zahid tolak permintaan pemimpin Umno Johor agar bercuti

Ahmad Zahid Hamidi menolak permintaan pemimpin Umno Johor agar beliau menimbang untuk bercuti daripada jawatan presiden, sementara perbicaraan kes rasuahnya di mahkamah selesai.

Sumber yang turut serta dalam mesyuarat antara Zahid dan ketua-ketua bahagian negeri itu memberitahu Malaysiakini bahawa Zahid tetap dengan keputusan kekal menggalas tugas sebagai presiden, walaupun separuh daripada pemimpin yang bersuara menggesa sebaliknya.

"Kerana kesuntukan masa, hanya enam ketua bahagian yang dibenarkan bercakap. Tiga daripada mereka bercakap bagi pihak kawan-kawan lain, minta dia pertimbangkan hasrat akar umbi untuk bercuti.

"Mereka menyuarakan betapa pentingnya presiden pertimbang untuk bercuti. Tetapi dia nampaknya tetap dengan keputusan (untuk kekal)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, pertemuan itu dibuat di ibu pejabat Umno Johor hari ini.

Katanya, mesyuarat itu sedikit tegang apabila ada ketua bahagian yang mempertahankan Zahid.

Bagaimanapun beliau berkata ia biasa berlaku ketika perbincangan 'dalam keluarga'.

Katanya lagi, Zahid memberi penjelasan panjang tentang pertuduhan yang dihadapinya tetapi hanya beberapa ketua bahagian yang dibenarkan bercakap memandangkan bekas timbalan perdana menteri itu perlu ke program lain selepas itu.

"Kita bukan persoal sama ada dia salah atau tidak, tetapi elok dia beri tumpuan kepada kes yang dihadapi.

"Kita minta dia pertimbang secara serius. Kemungkinan ada lagi suara dari akar umbi menyampaikan hasrat sama.

Zahid kini berdepan 45 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima rasuah.

Susulan itu, terdapat gesaan - antaranya daripada pemuda Umno - agar beliau bercuti seketika daripada jawatan presiden.

Namun beliau menolak gesaan itu dan berkata Umno sepatutnya terus bersatu-padu untuk menentang "musuh yang mahu menghancurkan" parti itu.

Lihat Komen
ADS