Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Keputusan tidak rasmi pemilihan semula PKR bagi cabang Keningau hari ini menyaksikan calon Timbalan Presiden Rafizi Ramli mendahului penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan majoriti tipis tiga undi.

Dalam pemilihan semula di Dewan Badminton Kompleks Sukan Keningau hari ini, Rafizi yang juga naib presiden memperolehi 624 undi manakala Azmin mendapat 621 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Pengawas Pusat Pemilihan PKR Cabang Keningau, Suraya Muizzudin pada jam 6.15 petang tadi.

Proses pemilihan semula PKR bagi cabang itu, yang menggunakan sistem e-undi, bermula 9 pagi dan berakhir 4.15 petang.

Seramai 2,735 daripada 6,441 anggota PKR cabang Keningau keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada proses pemilihan semula itu yang berjalan lancar.

Pemilihan semula PKR cabang Keningau turut menyaksikan Sangkar Rasam menang bagi jawatan Ketua Cabang dalam pertandingan tiga penjuru dengan mendapat undian sebanyak 816 undi.

Sangkar menewaskan dua pencabarnya iaitu Phuket Yadiloh @ Johari Tahir yang mendapat 453 undi dan Haslina Abin Kassim (330 undi).

Keningau merupakan satu daripada tiga cabang PKR di Sabah yang mengadakan semula proses pemilihan parti berikutan keputusan pemilihan pada 3 dan 4 November lepas ditangguhkan.

Dua lagi cabang PKR iaitu Tawau dan Pensiangan akan menjalankan proses pengundian semula, esok.

-Bernama

 

 

 

 

 

Lihat Komen
ADS