Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin menang pusingan pertama di S'wak, tapi belum selesa
Diterbitkan:  Nov 10, 2018 11:01 PM
Dikemaskini: 3:12 PM

PEMILIHAN PKR | Mohamed Azmin Ali kian mendahului Rafizi Ramli dalam persaingan jawatan timbalan presiden selepas menang tipis dalam pusingan pertama pemilihan peringkat Sarawak.

Bagaimanapun kemenangannya itu mungkin dineutralkan oleh keputusan pengundian cabang Julau, yang digantung susulan dakwaan "serangan siber".

Daripada keputusan tidak rasmi di 21 cabang, Azmin mendapat 2,848 undi berbanding Rafizi (1,507) - majoriti 1,341 undi.

Bagaimanapun penyandang ketua cabang Julau Semana Sawang berkata hampir 2,000 anggota telah mengundi di sana. Ia boleh merapatkan jurang jika mereka berpihak kepada Rafizi.

Sementara itu, Rafizi menang di pemilihan semula Keningau, tetapi dengan hanya tiga undi. Beliau mendapat 624 undi berbanding Azmin (621).

Dengan mengambil kira keputusan tidak rasmi ini, jumlah undi keseluruhan bagi Azmin kini adalah 62,418 dan Rafizi pula 57,759.

Ini bermakna Azmin mendahului dengan kelebihan 4,659 undi.

Keputusan penuh bagi jawatan lain di 21 cabang negeri itu masih tidak diperolehi.

Tujuh lagi cabang akan mengundi esok.

PKR Julau dilanda kontroversi apabila keanggotaannya meningkat daripada 603 kepada 13,549 dalam masa satu hari saja, Jun lalu.

Rungutan berkenaan kejanggalan timbul - termasuk pendaftaran anggota parti lain tanpa pengetahuan mereka dan menggunakan alamat meragukan - dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, Setiauasaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution membersihkan cabang itu daripada sebarang keraguan dan berkata proses pendaftaran anggota berjalan secara sah.

 

Lihat Komen
ADS