Syarikat memproses bahan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) sedia mematuhi segala peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa di negara ini bagi memastikan operasi mereka benar-benar selamat dan tidak mengancam keselamatan serta kesihatan orang awam.

Pengurus Besar Bahagian Keselamatan Radiasi Lynas Prof Dr Ismail Bahari, berkata syarikat itu sentiasa mematuhi syarat lesen yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau berkata syarikat itu yang dibarisi oleh ramai tenaga pakar berpengalaman menjadikan aspek itu sebagai keutamaan dalam pelaksanaan operasinya.

“Lynas dipantau dan dikawal selia oleh agensi kerajaan.

“Kesemua tenaga pakar akan memastikan Lynas sentiasa mematuhi syarat lesen dan sehingga kini Lynas memenuhi kesemua syarat lesen yang ditetapkan,” katanya ketika sesi pendengaran awam oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas di Kuantan, hari ini.

Kira-kira 500 orang hadir di majlis berkenaan.

Sebelum ini kumpulan anti-Lynas meminta kerajaan PH supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji semula aspek penetapan syarat dan operasi yang dikenakan terhadap kilang memproses nadir bumi itu di Kawasan Perindustrian Gebeng.

Industri banyak bantu

Cadangan itu disuarakan Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet, yang menyifatkan perkara itu perlu diberi keutamaan oleh kerajaan kerana ia membabitkan soal keselamatan dan kesihatan rakyat di daerah berkenaan.

Kerajaan melalui Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas yang pada awalnya di pengerusikan oleh Anggota Parlimen Kuatan, Fuziah Salleh.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Rosli Zul ketika membentang laporan pada sesi pendengaran awam itu menjelaskan kilang Lynas mematuhi peraturan sejak ia beroperasi.

Katanya, syarikat itu mematuhi peraturan kualiti alam sekitar berkaitan bahan buangan berjadual, perindustrian dan udara bersih, selain pemantauan kualiti dicadangkan dalam laporan Penilaian Impak Alam Sekitar.

“Selama enam tahun operasi Lynas, JAS membuat pemantauan dan mengambil sampel di dua stesen di Sungai Balok yang mendapati kehadiran industri sebenarnya banyak membantu.

“Misalnya, air Sungai Balok dikategorikan sebagai kelas empat dan apabila melalui kawasan industri ia meningkat kepada kelas tiga kerana air dirawat,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Awam Kementerian Kesihatan, Dr Nur Aiza Zakaria ketika sesi pembentangannya pula mendedahkan tidak berlaku pola peningkatan penyakit seperti barah, radang mata dan respiratori atau pernafasan dalam kalangan penduduk tempatan yang boleh dikaitkan dengan operasi Lynas.

Katanya, ia bersandarkan kepada dapatan dan pemantau terhadap 11 klinik kesihatan awam yang berada berhampiran kilang berkenaan.