Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Henti serang BN sebab bukan lagi k'jaan
Diterbitkan:  Nov 11, 2018 9:22 PM
Dikemaskini: 1:22 PM

PAS tidak menyerang Barisan Nasional (BN) kerana mereka bukan lagi sebuah kerajaan, kata Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata tiada guna menyerang pihak yang telah tumbang kerana mereka tidak lagi mempunyai sebarang kuasa.

"Buat apa kita menyerang yang sudah tiada. Semua orang akui BN memang banyak isu rasuah dan kita memang mengkritik (ketika BN masih berkuasa), jadi bila dah jatuh takkan kita nak serang lagi orang yang sudah jatuh.

"Daim (Zainuddin) sendiri dah sebut jangan bangkit kesalahan-kesalahan kerajaan yang lalu, fokus kepada kerja, dan kalau betul pimpinan-pimpinan lama ada isu rasuah, ambil tindakanlah kerana mereka (Pakatan Harapan) kini sudah berkuasa dan bawalah ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Singgahsana Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad yang ke-49 di Istana Balai Besar di Kota Bharu, hari ini.

Istiadat yang disempurnakan Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra itu turut dihadiri Tengku Temenggong Kelantan Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.

Isu LGBT perlu perhatian kerajaan

Sempena istiadat berkenaan, seramai 205 menerima Darjah Kebesaran termasuk lima dilantik sebagai Jaksa Pendamai manakala 397 penerima Bintang, Pingat dan Surat Kepujian akan menerima pengurniaan kehormatan kebesaran negeri pada 4 Mac tahun depan.

Mohd Amar mengulas mengenai dakwaan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu semalam, yang mempersoal sikap segelintir ahli politik berstatus ‘lebai’ yang dikatakan tidak bersungguh-sungguh melawan isu rasuah dan penyelewengan dilakukan pemimpin kerajaan terdahulu dan hanya ghairah mahu membangkitkan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) semata-mata.

Mohd Amar berkata tindakan wakil rakyat PAS membangkitkan isu LGBT memandangkan ia merupakan isu semasa yang sepatutnya diberi perhatian oleh kerajaan.

"Sekarang ini isunya berkaitan rakyat, berkaitan Islam, dan janji-janji yang tidak ditunaikan. Itu yang kita jadikan fokus dalam parlimen," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS