Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak lupa aksi lalu, Bersatu enggan terima Ali Tinju

Hasrat veteran Ali Tinju untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar Bersatu nampaknya tidak akan kesampaian, dan keputusan itu hadir belum pun 24 jam selepas dia menyerahkan borang permohonannya.

Dan punca penolakan itu pula, kata salah seorang pemimpin kanan Bersatu, tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kelakuan Ali sendiri.

Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya berkata parti itu tidak memerlukan orang seperti Ali untuk menjadi ahli.

Ditanya mengenai kemungkinan Ali - atau nama sebenarnya Mohd Ali Baharom - akan ditolak, Marzuki dengan tegas menjelaskan: "Bukan kemungkinan lagi. Kita (memang) akan menolak permohonan dia."

Menurut Marzuki beliau masih mengingati dengan jelas apa yang pernah dilakukan Ali kepada perdana menteri Dr Mahathir Mohamad serta pemimpin lain dalam Bersatu sebelum ini.

"Saya tak pernah jumpa orang macam ni," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Nama Ali Tinju memang bukan aneh suatu ketika dulu, terutama dengan pelbagai aksinya yang begitu menonjol, termasuk mengadakan 'senaman bontot' di depan peguam kanan dan bekas pengerusi Bersih, S Ambiga.

Tiba-tiba nak serah borang

Bagaimanapun malam tadi portal FMT memetik Ali sebagai berkata dia sudah menyedari kesilapannya dan tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepemimpinan Umno.

“Saya masuk Bersatu atas kehendak sendiri. Saya di Umno dahulu bukan di pihak pengurusan parti, jadi kita hanya ikut apa yang dikatakan pimpinan atasan, tapi tindakan pimpinan atasan buat saya hilang kepercayaan,” katanya. 

Menurut Marzuki 'kemasukan' Ali ke Bersatu juga tidak dirancang, sebaliknya dibuat di luar daripada susunan atur cara majlis yang dihadirinya di Bandar Tun Razak semalam.

Gambar majlis dihadiri Ali semalam.

Katanya program itu dianjurkan untuk beliau menyerahkan bantuan untuk asnaf terpilih.

"Di majlis itu saya beri ucapan, lepas tu ada penyerahan bantuan kepada asnaf-asnas terbabit.

"Kemudian tiba-tiba ada pengumuman orang nak serah borang. Mula-mula ketua bahagian (Bersatu) serahkan lebih 500 borang permohonan menjadi ahli.

"Tiba-tiba ada (lagi) pengumuman, katanya Ali Tinju juga nak serah borang.

"Jadi saya sebagai setiausaha agung, dan dia pun datang secara berhemah, maka kita menerima (borang tersebut) dengan berhemah juga.

"Cuma dia ambil kesempatan di situ," katanya.

Namun menurut Marzuki yang juga timbalan menteri luar beliau sendiri tidak lupa apa yang pernah dilakukan Ali dulu.

Sebagai parti yang bermaruah, katanya, beliau rasa kurang manis untuk memaklumkan terus kepada Ali bahawa bekas anggota tentera terbabit tidak diperlukan Bersatu.

Sementara itu Ali yang dihubungi Malaysiakini kelihatan pasrah dengan keputusan diambil Bersatu.

Malah dia enggan mengulas banyak mengenai ketetapan berkenaan.

"Tak apalah, saya pun tak nak cakap banyak sebab semalam dah bagi kenyataan kepada media," katanya.

Lihat Komen
ADS