'Insentif pengeluaran getah tak selesaikan masalah harga murah'
Peruntukan RM50 juta Insentif Pengeluaran Getah (IPG) oleh kerajaan dalam Belanjawan 2019 bukanlah penyelesaian kepada penurunan harga komoditi yang terpaksa dihadapi penoreh getah.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Aliasak Ambia berkata IPG hanya akan diberikan sekiranya harga getah turun bawah RM2.20 sekilogram sedangkan kos pengeluarannya lebih tinggi daripada paras harga itu.
“Penetapan paras harga bantuan IPG ini seolah-olah menunggu keadaan pendapatan penoreh nazak kerana mereka sudah pun terkesan teruk seandainya harga getah sekerap jatuh bawah RM3.50 sekilogram.
“Kerajaan harus melihat kos pengeluaran getah dan mendapatkan pandangan pihak berkepentingan dalam industri ini sebelum membentangkan belanjawan,” katanya dipetik Utusan Malaysia.’
Sementara itu, Aliasak memberitahu setiap penoreh yang menepati kriteria yang ditetapkan untuk menerima IPG perlu diberi latihan dan kursus supaya kadar hasil pengeluaran mereka bertambah.
Tambah beliau lagi, kerajaan berperanan membantu penoreh getah dan memastikan industri getah berkembang maju agar dapat memberi peluang kepada masyarakat luar menjana pendapatan.
Terdahulu, dalam Belanjawan 2019 memperuntukkan RM50 juta sebagai sokongan pendapatan kepada penoreh sekiranya harga getah jatuh bawah RM2.20 sekilogram.

