Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim bersetuju dengan pandangan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Daim Zainuddin supaya menteri kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhenti menyalahkan kerajaan BN sebelum ini.

Katanya, rakyat ingin tahu apa yang mahu dilakukan kerajaan untuk masa kini dan akan datang.

“Saya fikir apa yang dikatakan Daim itu betul, jangan ada obsesi kerana rakyat ingin tahu apa seterusnya daripada kerajaan PH untuk masa kini dan akan datang.

“Tetapi saya fikir itu tidak menghalang kami daripada mengutarakan pandangan dan mengemukakan bukti baharu (kesalahan kerajaan lalu),” kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Daim pada 8 Novemberr lalu berkata, kerajaan PH perlu memberi tumpuan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 dan melupakan apa yang berlaku pada masa lalu.

Menurutnya, apa yang berlaku pada masa lalu adalah sejarah dan pentadbiran baharu perlu berhenti menyalahkan kerajaan sebelum ini yang memerintah selama 61 tahun.

Bagi Daim, kerajaan PH harus berusaha untuk memulihkan keyakinan di kalangan pelabur untuk menarik mereka kembali ke negara ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau bagaimanapun memahami apa yang dihadapi oleh kerajaan dan menteri hari ini berikutan kesilapan-kesilapan dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Ketika ditanya mengenai prestasi semasa menteri-menteri kabinet, Anwar percaya mereka telah melakukan yang terbaik.

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa prestasi menteri-menteri serta timbalan mereka sentiasa dipantau dan dibincangkan.

“Memang ada aduan, tetapi secara umumnya saya berpuas hati dengan prestasi mereka.

“Saya nasihatkan mereka supaya lebih positif dan mendengar dan tidak menolak sesuatu perkara begitu sahaja,” katanya.