Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Beri susu kepada semua murid, tak perlu ada klasifikasi'

Persatuan Penternak Tenusu Sabah mencadangkan agar kerajaan baru tidak mengklasifikasikan status murid bagi melayakkan mereka menerima bantuan susu di bawah Program Susu 1Malaysia (PS1M).

Pengerusinya Prof (Adjung) Datuk Yap Yun Fook berkata, ini kerana kesemua murid sekolah bermula daripada tadika hingga Tahun 6, seharusnya berhak untuk menerima bantuan susu itu tanpa sebarang prejudis.

“Soal anak miskin atau kaya tidak timbul dalam soal ini (penerima)...Sasaran kita ialah untuk melahirkan pewaris kepimpinan negara…Generasi kita, pewaris kerajaan pada masa hadapan seharusnya dalam kalangan yang sihat.

“Saranan saya ialah supaya semua murid diberi hak untuk meminum susu itu...Ia hanya sekotak seorang atau 160 kotak setahun yang berharga dalam lingkungan lebih RM200 setahun,” katanya kepada Bernama.

Program Susu 1Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai Program Susu Sekolah, PSS) merupakan pakej Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dikhaskan untuk murid-murid dalam kalangan keluarga miskin (daif) yang diperkenalkan sejak tahun 1983.


BacaMana susu kotak 1Malaysia untuk murid miskin?


Yap berkata kerajaan juga perlu menyemak semula dasar penentuan jenis susu untuk program itu kerana susu untuk pelajar seharusnya susu segar yang bebas gula dan kaya dengan kalsium serta protein yang sangat diperlukan dalam tumbesaran kanak-kanak dan bukannya susu berperisa.

“Susu berperisa dirumus dengan adunan susu tepung, gula dan perisa...Minuman ini boleh mengakibatkan kegemukan, tidak berkhasiat dan tidak sesuai untuk otak serta kecergasan kanak-kanak yang sedang membesar,” katanya.

Yap yang juga anggota Majlis Penasihat Pertanian Negara berkata pembekal susu bagi program itu sepatutnya dipilih dalam kalangan pengusaha tenusu yang berkeupayaan di negara ini bagi memastikan susu yang dibekalkan berkualiti dan benar-benar terjamin.

-Bernama

Lihat Komen
ADS